Ceramah Dr Zakir batal atas faktor keselamatan

Iklan
Hebahan menerusi poster bagi menguarkan program dihadiri Dr Zakir di Perlis. (Gambar kecil, Noor Mushar)

KANGAR - Polis menasihati penganjur program Malaysia Reverts Camp yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini, membatalkan slot penceramah bebas, Dr Zakir Naik dan anaknya, Fariq Naik atas faktor keselamatan.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, ia bagi meredakan keadaan yang dilihat tegang susulan kenyataan penceramah bebas itu yang disalah tafsir pihak tertentu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun Dr Zakir tidak dibenarkan menyampaikan ceramah seperti dijadualkan, namun beliau masih boleh memasuki Perlis dan menghadiri program berkenaan.

"Saya sarankan penganjur tidak meneruskan slot ceramah Dr Zakir kerana keadaan semasa tidak mengizinkan.

Iklan

"Kita bimbang ia menambahkan lagi kekalutan dan sensitiviti pelbagai pihak, malah dijangkakan usik-mengusik antara pihak tertentu berhubung isu ini akan berterusan,” katanya selepas majlis serah terima tugas antara lima ketua jabatan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis hari ini.

Noor Mushar berkata, pihaknya berharap semua pihak akur kerana ia membabitkan soal keselamatan selain isu yang dikaitkan dengan Dr Zakir ketika ini agak ‘panas’.

Iklan

"Sudah ada lebih 150 laporan polis dibuat terhadap beliau,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut menghubungi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhubung cadangan pembatalan program penceramah kontroversi terbabit.

"Timbalan Ketua Cawangan Khas Perlis sudah hubungi Mohd Asri dan beliau juga menyambut baik cadangan polis,” katanya.

Noor Mushar berkata, biarpun slot ceramah Dr Zakir dibatalkan, polis tidak menghalang aktiviti program berkenaan diteruskan seperti dijadualkan.

Sementara, Mohd Asri dalam satu kenyataan turut menasihati pihak penganjur agar mengecualikan ceramah Dr Zakir dan keluarganya dalam program berkenaan.

"Ia bagi memastikan Dr Zakir dan keluarga tidak diganggu oleh pihak yang mempunyai niat tidak baik,” katanya.

Mengulas perkara sama, Pengerusi Penganjur Program Malaysia Reverts Camp, Muhammad Zamri Vinod Kalimuthu menerusi kenyataan ringkasnya memaklumkan, slot ceramah Dr Zakir dan anaknya sudah dibatalkan bagi memastikan keselamatan semua pihak.

"Slot terbabit dibatalkan bagi memastikan keselamatan keluarga pendakwah itu terjamin. Memandangkan Mufti Perlis dan polis menasihati agar menangguhkan sesi Dr Zakir, kami akur dan mematuhi nasihat itu,” katanya.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi One Centre Malaysia Perlis, Dr Zakir dan keluarganya dijadualkan memberikan ceramah dengan beberapa slot di Masjid Al Hussain, Kuala Perlis.

Program tiga hari itu turut menampilkan pendakwah ternama lain antaranya, Datuk Dr Ridhuan Tee Abdullah, Datuk Ahmad Jusoh serta Firdaus Wong.