TOPI dan lelaki sukar untuk 'dipisahkan' kerana ia sinonim sebagai 'pembantu' menyelamatkan penampilan seseorang.
Dengan adanya pelengkap gaya itu, golongan jejaka tidak perlu bimbang untuk memikirkan fesyen rambut khususnya pada waktu terdesak.
Bagaimanapun, usah disebabkan terlalu bergantung pada pemakaian topi, anda mengabaikan kebersihan pelengkap gaya itu.
Justeru, di sini e-Trend kongsikan tiga tip menjaga kebersihan topi. Antaranya ialah:
1- Rol penggulung
Bersihkan topi menggunakan rol penggulung serat berpelekat supaya dapat menanggalkan habuk atau debu yang melekat pada pelengkap gaya berkenaan.
Jika anda memakai topi hampir setiap hari, maka bersihkan ia sebanyak tiga atau empat kali seminggu.
Jangan sesekali menutup kepala dengan topi yang berhabuk kerana bimbang ia menjejaskan kondisi kulit kepala dan helaian rambut.
2- Bersihkan lidah topi
Gunakan kain yang telah direndam sabun mandi atau tisu basah untuk mengelap topi khususnya bahagian lidah.
Bahagian terbabit antara 'lubuk' kotoran kerana anda akan memegangnya sama ada untuk memakai atau menanggalkan topi.
3- Simpan di rak topi
Bagi memastikan koleksi topi kekal lama maka simpan di tempat bersesuaian sama ada di rak gantung topi atau para kosong yang tidak sarat dengan pelbagai barang lain.