BAGAN SERAI - Tiada pengunjung terlibat dalam kebakaran jeti di Pulau Orang Utan di Bukit Merah Laketown Resort di sini.
Difahamkan kejadian yang berlaku kira-kira jam 7 malam itu juga tidak membabitkan sebarang kecederaan kepada kakitangan mahupun orang utan.
Kebakaran itu hanya melibatkan operasi penjualan seperti kedai cenderahati, kafe dan pawagam terbuka.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Abd Nasir Jalil berkata, anggota yang tiba sebaik menerima panggilan pada jam 7.20 malam perlu menaiki bot untuk ke lokasi kejadian dianggarkan sejauh 3km dari tebing.
"Operasi pemadaman dilakukan menggunakan pam angkut bersumberkan air dari tasik dan dianggarkan hampir 30 peratus dari kawasan jeti musnah dalam kebakaran itu.
"Operasi pemadaman tamat pada jam 10.30 malam tadi," katanya.
Pulau berkeluasan 14 hektar yang menempatkan kira-kira 24 orang utan itu berada di bawah kendalian Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah (YPOUBM).
Dibuka kepada umum seawal Februari 2000, pulau tersebut kini giat menjadi lokasi penyelidikan dalam bidang konservasi biologi dan perubatan veterinar.