PARIT BUNTAR - Majlis Daerah Kerian (MDK) kesal dengan tindakan pihak tertentu menularkan gambar patung askar Jepun di pekarangan Wisma pihak berkuasa tempatan itu dan mempersoalkan motif peletakannya dalam media sosial semalam.
Jurucakap MDK berkata, patung berkenaan sebenarnya merupakan sebahagian daripada inisiatif dekorasi hiasan pintu gerbang sempena menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke-62 yang masih belum disiapkan sepenuhnya.
Menurutnya, patung berupa askar Jepun berkenaan adalah sebagai gimik era sebelum merdeka di zaman penjajahan tentera Jepun.
"Kebetulan replika patung itu terlibat dalam konsep penceritaan tersendiri yang cuba diterapkan MDK bagi membolehkan masyarakat setempat menghayati erti kemerdekaan dalam bentuk visual.
"MDK kesal dengan tindakan pihak tertentu menggunakan gambar patung berkenaan sebagai sebahagian dekorasi hiasan kemerdekaan yang belum siap sepenuhnya untuk dijadikan isu sensitif kepada rakyat Malaysia terutama penduduk daerah Kerian," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Jurucakap MDK berkata, MDK turut kesal dengan sikap pihak tersebut bertindak menularkan gambar patung askar Jepun berkenaan tanpa mengetahui asal-usul konsep penceritaan ingin disampaikan PBT itu secara menyeluruh.
Menurutnya, penegasan ini dibuat bagi menafikan fahaman negatif yang bermain dalam minda penduduk setempat sehingga ada yang mengaitkan patung itu dengan anggota komunis.
"Bukan niat MDK untuk mengagungkan tentera Jepun dan kami juga meminta pihak berkenaan supaya berhenti menularkan perkara tidak tepat," katanya.
Semalam beberapa laman media sosial tempatan bertindak menularkan gambar replika askar Jepun yang sedang mengawal sebuah bangunan disertakan bendera Jepun diletakkan di kawasan pintu gerbang Wisma MDK.
Tindakan memuat naik gambar itu mendapat reaksi negatif ramai warganet yang mengecam tindakan PBT berkenaan dilihat seolah-olah cuba mengagungkan tentera Jepun.
Bahkan terdapat warganet mengaitkan replika berkenaan dengan anggota komunis dan mengaitkan dekorasi kemerdekaan itu dengan sentimen politik.