KEMAMAN - Mayat dipercayai seorang lagi peserta kayak warga Singapura, Tan Eng Soon, 62, yang hilang ketika berkayak di perairan Mersing, Johor ditemui nelayan tempatan dalam keadaan terapung kira-kira lapan batu nautika dari Kuala Dungun sekitar jam 6 petang semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, mayat itu dijumpai nelayan bot pukat tunda dalam keadaan masih memakai jaket keselamatan.
Bagaimanapun, katanya, mayat itu tidak diikat dan dibiarkan hanyut sebelum APMM Zon Maritim Kemaman menerima maklumat tentang penemuan itu pada jam 12 tengah malam kelmarin.
Katanya, penemuan itu menjadi petunjuk baharu kepada pasukan penyelamat dalam pencarian Eng Soon, susulan tragedi dua warga Singapura hilang ketika sedang berkayak di perairan Mersing, 8 Ogos lalu.
"Kita dapat maklumat berhubung penemuan mayat itu daripada grup WhatsApp nelayan tempatan dan kita tidak tolak kemungkinan mayat yang dilihat itu adalah seorang lagi peserta kayak yang masih hilang.
"Kedudukan mayat itu ditemui kira-kira 40 batu nautika dari mayat pertama, Puah Geok Tin, 57, yang ditemui di perairan Kuala Kemaman kelmarin (Rabu)," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Zon Maritim Kemaman di sini hari ini.
Mayat pertama ditemukan kelmarin dan disahkan sebagai peserta kayak wanita, Geok Tin selepas pengecaman dilakukan ahli keluarga.
Geok Tin dan Eng Soon dilaporkan hilang selepas kayak dinaiki mereka terpisah dengan 13 rakan mereka ketika berada antara Pulau Sri Buat, Pahang dan Pulau Mertang, Mersing, pada 8 Ogos lalu.
Rashidilhadi berkata, susulan petunjuk baharu yang diterima pencarian tertumpu di sekitar lokasi mayat itu dilihat meliputi keluasan keseluruhan 265 batu nautika persegi dari perairan Kemaman hingga perairan Merchang di Marang.
Menurutnya, pusat gerakan operasi (FOB) peserta kayak itu diwujudkan di Pejabat Zon Maritim Kemaman bermula semalam susulan penemuan mayat di Kuala Kemaman kelmarin.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dikoordinasikan APMM pada hari kelapan hari ini diteruskan jam 7 pagi tadi melibatkan enam buah bot pelbagai agensi termasuk APMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan kekuatan 47 pegawai dan anggota.
"Kita juga akan dapatkan bantuan daripada bot-bot yang berulang alik ke pelantar minyak untuk salurkan maklumat bagi membantu usaha pencarian ini," katanya.