Perak perhalusi dana khas bantu atlet

Iklan
Chuan How (kanan) menyerahkan sumbangan kepada Nur Fazira (tengah) disaksikan ibunya, Hamisah Din di kawasan kediaman atlet itu yang terbakar di Kuala Bagan Tiang, Parit Buntar hari ini.

PARIT BUNTAR – Kerajaan Perak sedang memperhalusi cadangan dana khas untuk membantu atlet dan bekas atlet yang ditimpa musibah termasuk bencana kebakaran bagi dibentangkan dalam belanjawan negeri akan datang.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata, dana itu penting bagi membela kebajikan kesemua atlet Perak dalam usaha meringankan beban mereka yang pernah berjasa dan mengharumkan nama negeri ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan negeri mengenal pasti masih ada golongan terlibat yang tidak dijaga kebajikan mereka termasuk yang memerlukan bantuan.

"Kerajaan negeri menerusi portfolio saya memang ada peruntukan bantuan kecemasan untuk membantu atlet tetapi satu dana khas bagi membela nasib mereka perlu dibincangkan dan diperhalusi.

Iklan

"Secara dasar, Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Perak sebelum ini sudah mewujudkan Unit Kebajikan Bekas Atlet Perak bagi memberikan bantuan kepada atlet dan bekas atlet dalam usaha mengenang jasa kepada mereka dan membolehkan bekas atlet menyumbangkan jasa mereka," katanya pada sidang media sewaktu mengadakan ziarah rumah ketua pasukan bola baling Sukan Malaysia (Sukma) Perak, Nur Fazira Mohd Nor di Kuala Bagan Tiang, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Chuan How turut menyerahkan sumbangan kerajaan negeri bernilai RM3,000 kepada Nur Fazira bagi membantu meringankan beban pelajar tahun tiga jurusan Sains Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam bersama keluarganya.

Iklan

Dalam kejadian Isnin lalu kira-kira jam 7.30 malam, Nur Fazira bersama keluarganya tinggal sehelai sepinggang apabila rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran.

Kebakaran itu turut menyebabkan barangan berharga seperti pingat emas dan beberapa lagi pingat dimenanginya dalam beberapa acara bola baling hangus dijilat api.

Chuan How berkata, selain sumbangan kerajaan negeri menerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak, pihaknya merayu agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), baitulmal dan Yayasan Perak untuk menghulurkan bantuan bersesuaian termasuk pembinaan rumah baharu untuk kemudahan Nur Fazira bersama 11 ahli keluarga lain.

Menurutnya, tragedi malang itu diharap tidak menjejaskan semangat Nur Fazira sebagai atlet sandaran negeri di samping membantu memberi motivasi tambahan kepada beliau untuk meraih pencapaian lebih cemerlang pada masa hadapan.

"Paling penting, kerajaan negeri telah mengadakan mesyuarat penyelarasan khas dan mesyuarat dua hala dengan beberapa rakan strategik, syarikat insurans dan beberapa agensi kerajaan termasuk hospital untuk memberikan perkhidmatan kepada atlet dan bekas atlet.

"Ada syarikat insurans yang mahu memberi peluang kepada bekas atlet untuk menjadi agen insurans dan ada yang menawarkan sumbangan makanan," katanya.