SHAH ALAM - Pas bimbang peningkatan sentimen kebencian agama dan kaum mengundang bahaya kepada negara.
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keadaan menjadi lebih buruk apabila sentimen itu turut dicetuskan oleh beberapa orang menteri dan ahli politik parti pemerintah sendiri.
Iklan
Iklan
"Mengapa selepas mesyuarat kabinet yang berlangsung semalam (Rabu), ramai menteri Kabinet mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan untuk mengusir Dr Zakir Naik? Tidakkah tindakan mereka jelas bercanggah dengan tanggungjawab kolektif Kabinet dan sengaja membangkitkan amarah rakyat?
"Tindakan segelintir menteri sangat merbahaya kerana mereka seharusnya memainkan peranan lebih efektif untuk menenangkan keadaan dan memahami kemajmukan rakyat," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, semua pihak harus melihat pelbagai isu mutakhir itu dalam kerangka yang lebih besar dan bukan hanya mementingkan kaum tertentu sahaja.
"Pembentukan Malaysia didukung oleh tonggak utama yang berpaksikan Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan Raja Berperlembagaan, keistimewaan hak orang Melayu dan bumiputera dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara," katanya.
Katanya, Pas mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas termasuk mengharamkan kumpulan yang semakin giat mempromosikan rasisme dan ekstremisme ini bagi mengelakkan konflik perkauman yang lebih kritikal pada masa akan datang.