Selamatkah aplikasi FaceApp?

Iklan
Dr Mohd Khairie & Dr Masitah - Foto: BERNAMA

KUALA LUMPUR - Baru-baru ini, netizen di Malaysia ‘galak’ menggunakan aplikasi yang merubah wajah menjadi tua.

Bukan sahaja dewasa malahan kanak-kanak dan bayi turut dijadikan ‘tua sebelum usia’ oleh ibu bapa mereka.

Iklan
Iklan

Itulah penangan aplikasi ‘FaceApp’ yang menjadi ikutan majoriti netizen di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Ramai yang berkongsi wajah tua masing-masing di laman sosial Facebook (FB) dan Instagram mungkin sekadar suka-suka atau bimbang dikatakan tidak ‘up-to-date’ dengan trend semasa jika tidak berbuat demikian.

Iklan

SELAMATKAH ‘FACEAPP’?

Di sebalik keghairahan berkongsi wajah tua masing-masing, beberapa pihak menegur serta menasihatkan netizen supaya lebih berhati-hati dalam menggunakan sebarang aplikasi di media sosial.

Ini kerana tindakan berkongsi butiran peribadi termasuk wajah dikhuatiri berisiko mendedahkan pengguna atau pemilik laman sosial kepada perkara yang tidak diingini termasuk menjadi mangsa individu tidak bertanggungjawab.

Iklan

Mengulas senario itu, Dr Mohd Khairie Ahmad, Pensyarah Kanan dan Penyelidik di Advanced Communication Research Unit (ACRU), Pusat Pengajian Teknologi Multimedia & Komunikasi, Universiti Utara Malaysia berkata, aplikasi FaceApp bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia diperkenalkan pada awal 2017 oleh sebuah syarikat dari Rusia, Wireless Lab.

Bagaimanapun, FaceApp menjadi trend di seluruh dunia apabila versi baharu pada 2019 secara tiba-tiba menjadi ‘kegilaan’ mainan netizen yang memuat naik foto wajah mereka yang disunting oleh teknologi kecerdasan buatan (AI).

Penangan aplikasi ‘FaceApp’ menjadi ikutan majoriti netizen di seluruh dunia termasuk Malaysia. - Foto: BERNAMA

"Dilaporkan lebih 80 juta pengguna di seluruh dunia telah memuat naik aplikasi berkenaan dalam peranti mereka. Sejak fenomena itu melanda, timbul kegusaran khususnya dalam kalangan pemimpin serta pakar teknologi maklumat Amerika Syarikat (AS) dan Eropah berhubung ancaman FaceApp ini.

"Mereka mendakwa dengan menggunakan aplikasi itu, maklumat pengguna berpotensi disalah guna kerana ia disimpan di Rusia dan ini dianggap sebagai satu usaha risikan. Saya melihat perkara ini normal memandangkan AS dan Eropah pernah mempunyai hubungan tegang dengan Rusia sejak era Perang Dingin dahulu,” katanya kepada Bernama.

Beliau menjelaskan insiden FaceApp sebenarnya hampir sama dengan apa berlaku kepada syarikat teknologi Huawei sebelum ini apabila Presiden AS Donald Trump mendakwa peranti keluaran syarikat itu berkemungkinan digunakan oleh China untuk tujuan risikan dam membawa kepada tindakan AS menghentikan talian perniagaan dengan syarikat itu.

Lanjutan daripada fenomena itu, pihak FaceApp menafikan dakwaan data dan maklumat pengguna disimpan di pangkalan data di Rusia sebaliknya foto dan data berkaitan diproses di penstoran awanan selain aplikasi itu turut menggunakan Google Cloud dan Amazon Web Services yang kedua-duanya berpangkalan di AS bagi tujuan pemproses dan penghasilan imej.

RISIKO KOMUNIKASI DIGITAL

Mohd Khairie berkata, pakar keselamatan siber masih berpendapat jawapan itu tidak bermakna FaceApp boleh dianggap selamat memandangkan terma dan syarat penggunaannya didapati kurang mengikut piawaian General Data Protection Regulation (GDPR).

Selain itu, perkara yang tercatat dalam terma penggunaan aplikasi ini disifatkan agak longgar dan berpotensi disalah guna.

Justeru, apa peranan pengguna dalam berhadapan situasi berisiko seperti ini?

Menganggap kesedaran netizen di kebanyakan negara membangun termasuk Malaysia masih rendah, beliau berkata pengetahuan mengenai sesebuah produk digital atau dalam talian yang berbayar atau percuma adalah amat penting.

"Produk era digital terutamanya aplikasi yang dipasang pada peranti sebahagian besarnya percuma namun ia bukanlah ‘100 peratus percuma’ kerana masih ada kos tidak langsung yang dikenakan.

"Ini merujuk kepada data atau maklumat pengguna sebagai ganti kepada wang. Apabila pengguna tidak memahami dan tidak arif tentang terma penggunaan itu, mereka sebenarnya dalam keadaan berisiko,” katanya.

Sikap masyarakat yang selalu ambil mudah dalam mengendalikan media sosial serta aplikasi tertentu bukan sahaja berpotensi 'mencuri' maklumat malah boleh dimanipulasi bagi tujuan tidak sihat lain.

"Apabila kita masuk sahaja ke alam digital, setiap komunikasi akan dirakam (direkodkan). Setiap komunikasi ini pula boleh dikesan dengan pelbagai sistem forensik komunikasi digital.

"Untuk menganggap kita selamat dalam apa sahaja bentuk sistem digital, sebenarnya, ia kurang tepat. Sejarah dunia membuktikan bahawa rekod dan amalan komunikasi merupakan maklumat yang berharga dan pada masa yang sama boleh menjadi ancaman terhadap individu, organisasi mahupun negara,” katanya.

Justeru itu, Mohd Khairie mengingatkan netizen supaya memberi fokus kepada mengurangkan risiko akibat corak komunikasi digital.

Menurutnya berdasarkan statistik Cyber Security Malaysia (www.mycert.org.my), fenomena ancaman keselamatan siber menunjukkan situasi yang agak membimbangkan.

Sehingga Julai 2019, sejumlah 1,050 insiden berkaitan dilaporkan kepada agensi tersebut berbanding tempoh sama pada 2018 yang mencatatkan 766 kes dan 648 kes pada 2017.

"Statistik ancaman dilaporkan bertambah sebanyak 62 peratus pada 2019 berbanding 2017,” katanya.

Beliau berpendapat masyarakat mempunyai pilihan dalam mengendalikan ‘dunia’ digital masing-masing namun setiap netizen haruslah didedah, dididik dan dibudayakan dengan kecelikan digital.

Ungkapan 'jadilah pengguna bijak' adalah prinsip penting yang perlu sentiasa diamalkan setiap masyarakat khususnya di era ekonomi digital.

"Harus diingat, data atau maklumat merupakan komoditi penting dan berharga dalam ekonomi masa kini,” katanya.

GORES DAN MENANG MODEN

Sementara itu, Dr Masitah Ahmad, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Maklumat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau, Negeri Sembilan berkata, lambakan aplikasi dan permainan dalam media sosial dikhuatiri mengundang lebih banyak keburukan jika gagal dikendalikan dengan sebaik-baiknya.

Strategi aplikasi dan permainan dalam talian yang mengkehendaki pengguna memberikan maklumat serta data peribadi mereka, katanya, adalah seperti peraduan ‘gores dan menang’.

"Peraduan ‘gores dan menang’ adalah contoh paling relevan malah ramai yang menjadi mangsa. Dahulu, kita dikehendaki mengisi borang dengan maklumat peribadi bagi tujuan menyertai peraduan tertentu dan hari ini, matlamatnya tetap sama iaitu syarikat terlibat atau penganjur masih meraih keuntungan cuma kaedahnya berbeza menggunakan teknologi maklumat khususnya platform media sosial.

"Pengguna janganlah terlalu taksub dalam mengguna pakai sebarang aplikasi kerana tanpa disedari, kita membuka ruang kepada kejadian jenayah yang mungkin tidak dijangka sama sekali,” katanya.

Pada masa sama, Masitah berkata, tindakan menjawab soalan-soalan tertentu seperti tarikh lahir, tempat tinggal, nama keluarga dan jumlah anak dalam permainan dalam talian juga boleh mengundang kepada jenayah siber.

Keterujaan netizen berkongsi butiran peribadi kepada umum termasuk aktiviti harian, lokasi keberadaan serta alamat tempat tinggal juga boleh memudaratkan, katanya.

Mengakui pentingnya pendidikan media atau literasi media, beliau berkata semua lapisan masyarakat termasuk di bandar dan luar bandar wajar mempunyai pengetahuan mengenai perkara itu.

"Dengan ledakan teknologi serta maklumat tanpa sempadan masa kini, literasi media wajar dijadikan antara silibus dalam pendidikan negara baik di peringkat sekolah mahupun institusi pengajian tinggi.

"Sebahagian masyarakat mungkin mempunyai pengetahuan asas mengenai pendidikan media namun selagi ia tidak diterjemah menjadi satu bentuk pendidikan yang wajib, maka ia tetap mempunyai kekurangan dan sukar untuk dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya. - Bernama