KEPALA BATAS - Bagi penduduk Pulau Pinang dan Kedah, Jambatan Merdeka di sini adalah laluan biasa yang sering digunakan untuk menghubungi antara dua daerah di kedua-dua negeri itu iaitu Kepala Batas dan Sungai Petani, namun tidak ramai yang mengetahui bahawa jambatan itu menyimpan banyak kisah pahit maung sejarah negara ketika penjajahan British dan Jepun.
Malahan menurut penduduk tempatan, jambatan itu asalnya dibina oleh penjajah British, namun British jugalah yang memusnahkannya apabila Jepun menyerang Tanah Melayu ketika Perang Dunia Kedua pada 1941.
Seorang penduduk asal Kampung Bumbong Lima di sini, Wong Ah Kiat, 90, berkata tentera British bertindak merobohkan jambatan itu pada masa itu bagi menyekat kemaraan tentera Jepun yang menyerang Tanah Melayu dengan melalui kawasan sebelah utara.
"Jambatan asal yang dibina oleh British dimusnahkan oleh askar British sendiri dengan menggunakan bom yang kuat sehingga bunyinya kedengaran dari jauh, untuk menghalang kemasukan Jepun ke Pulau Pinang.
"Pada masa itu, saya masih ingat penduduk kampung yang tinggal berhampiran muara sungai, diarah berpindah tujuh kilometer dari kawasan jambatan bagi menjaga keselamatan mereka sebelum jambatan diletupkan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di kedai kopinya di sini.
Namun, katanya tentera Jepun tidak patah semangat sebaliknya mereka membina jambatan kayu untuk menyeberangi sungai tersebut yang kini dikenali sebagai Sungai Muda.
Wong yang dahulunya bekerja sebagai pembantu tapak binaan berkata, pada zaman pemerintahan Jepun, hanya jambatan kayu yang digunakan oleh penduduk setempat untuk menyeberangi sungai berkenaan.
Beliau berkata selepas British kembali mengambil alih pemerintahan Tanah Melayu pada 1945, mereka membina semula jambatan berkenaan dengan menggunakan besi dan konkrit yang lebih kukuh.
"Saya sendiri terlibat dalam kerja-kerja pembinaan semula jambatan itu dan kemudiannya dirasmikan oleh Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada tahun yang sama negara menyambut Hari Kemerdekaan 1957," katanya.
Seorang lagi penduduk, Samsudin Ibrahim, 79, yang lahir dan menetap di Kampung Jambatan Merdeka di sini berkata kesan daripada runtuhan jambatan asal masih terdapat di dasar Sungai Muda dan boleh dilihat sehingga hari ini.
Katanya, jambatan itu dinamakan Jambatan Merdeka pada ketika itu adalah untuk memperingati sejarah dan juga jasa pengorbanan penduduk tempatan yang membantu membina semula jambatan berkenaan.
"Jambatan itu merupakan laluan utama untuk penduduk yang menghubungkan dua negeri dan kini jambatan itu turut menjadi kebanggaan kepada saya setiap kali melaluinya kerana ia menyimpan sejarahnya yang tersendiri," katanya.
Katanya, bagi menampung jumlah pengguna yang semakin bertambah, kerajaan pada tahun 2008 telah membina satu lagi jambatan bersebelahan dengan jambatan itu dengan masih mengekalkan reka bentuk yang serupa.
Jambatan yang memisahkan Pulau Pinang dan Kedah kini mempunyai dua lorong sehala bagi menampung bilangan kenderaan yang tinggi.
Sementara itu, Zuraini Osman, 41, yang mengusahakan restoran mi udang di situ berkata pelanggannya selalu datang pada waktu senja untuk melihat matahari terbenam bersebelahan dengan Jambatan Merdeka.
Katanya, beliau dan suaminya, Ridzuan Mat Zin, 49, mendapat idea untuk menamakan restorannya sebagai Restoran Terapung TT Merdeka daripada jambatan itu tersendiri.
"Restoran terapung kami ini adalah tempat yang paling sesuai untuk menikmati ketenangan Sungai Muda dan juga pemandangan Jambatan Merdeka. Setiap hujung minggu terdapat pelancong dari dalam dan luar negara yang datang untuk menghayati pemandangan di sekitar sini yang tenang, semula jadi dan bersejarah," katanya.
Beliau berharap pihak berkuasa tempatan akan terus memelihara dan memajukan kawasan-kawasan bersejarah ini agar ia tidak ditelan zaman.
Restoran Terapung TT Merdeka yang terletak 100 meter dari Jambatan Merdeka ini beroperasi dari 1 tengah hari hingga 12 tengah malam setiap hari kecuali Rabu.- Bernama