McGregor buat hal lagi, kali ini tumbuk muka warga emas

Iklan
Mangsa (dalam bulatan merah) ditumbuk Conor McGregor yang meluru dari arah belakang.

DUBLIN - Sejak diaibkan Khabib Nurmagomedov tahun lalu, tindak-tanduk bintang UFC, Conor McGregor semakin tidak terkawal.

Dalam beberapa insiden, McGregor dilaporkan menyerang individu yang tiada kaitan dengan seni bela diri campuran atau MMA.

Iklan
Iklan

Terbaharu, anak emas UFC itu dilapor telah menumbuk muka seorang lelaki warga emas dalam kejadian 6 April lalu.

Kejadian itu berlaku di sebuah bar di Dublin, Ireland dan ia dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Iklan

Dalam rakaman itu, McGregor naik berang apabila mangsa tidak memberi sebarang reaksi ketika dipelawa minum wiski keluaran syarikatnya.

McGregor kemudian menumbuk muka mangsa sebelum ditenangkan beberapa lelaki lain.

Iklan

Mangsa dilihat tidak memberi sebarang reaksi selepas ditumbuk, malah terus duduk seperti tiada apa berlaku.

Sementara itu, Khabib yang dipetik portal TMZ mengutuk tindakan McGregor sebagai bacul, tiada kelas dan memalukan.

Khabib berkata, McGregor harus dihumban ke penjara atas tindakannya yang mengancam orang sekeliling.

"Ini sesuatu yang tidak baik dan beri gambaran buruk terhadap sukan MMA.

"Dia sudah hilang akal dan pihak berkuasa perlu ajar McGregor.

"Saya amat marah apabila melihat video tersebut. Tergamak dia tumbuk orang tua.

"Hari ini dia tumbuk orang tua, esok lusa apa pula?" kata Khabib.

Pada Mac lalu, McGregor ditahan pihak berkuasa di Florida, Amerika Syarikat kerana merampas dan memecahkan telefon bimbit seorang peminat yang cuba mengambil gambarnya.

Bagaimanapun, McGregor terlepas hukuman apabila tuduhan jenayah ke atasnya digugurkan. - Agensi