Lombong bauksit di Kota Tinggi: Jabatan Mineral dan Geosains belum terima permohonan

Iklan
Gambar hiasan

SHAH ALAM - Jabatan Mineral dan Geosains belum menerima sebarang permohonan bagi mendapatkan surat kelulusan Skim Pengendalian Melombong daripada Felda atau Syarikat Perlombongan The One Minerals Mining Sdn Bhd untuk memulakan operasi perlombongan di tanah rancangan Felda di Kota Tinggi, Johor.

Ketua Pengarahnya, Datuk Shahar Effendi Abdullah Azizi berkata, berdasarkan maklumat daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Johor juga, pihaknya mendapati tiada tenemen mineral dikeluarkan kepada syarikat berkenaan untuk melombong bauksit di kawasan yang telah dinyatakan.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan perundangan yang sedang berkuatkuasa, mana-mana pengusaha perlombongan di atas tanah milik hendaklah terlebih dahulu memohon tenemen mineral daripada pihak berkuasa negeri yang turut merangkumi kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar oleh Jabatan Alam Sekitar.

"Seterusnya, pengusaha juga perlu memohon surat kelulusan Skim Pengendalian Melombong daripada Jabatan Mineral dan Geosains sebelum memulakan sebarang kerja-kerja di tapak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Selasa lalu, media melaporkan The One Minerals Mining Sdn Bhd dan firma pelaburan Hong Kong, Via East West Capital melabur AS$350 juta (RM1.47 bilion) untuk melombong 2,833 hektar bauksit di Johor bagi tempoh lima tahun akan datang.

Pengarah Urusan TOMM, Looi Kam Yong berkata, perlombongan mineral di atas tanah milik Felda di Kota Tinggi yang dijangka bermula dalam tempoh empat hingga enam bulan akan datang itu akan dibahagikan kepada lima bahagian iaitu bahagian pertama merangkumi pelaburan bernilai AS$50 juta (RM210 juta) membabitkan kawasan keluasan 404.7 hektar.

Iklan

Mengulas lanjut, Shahar berkata, pihaknya turut merujuk kepada beberapa agensi berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar Johor dan Felda Wilayah Johor Bahru bagi mendapatkan maklumat lanjut.

"Kesemua agensi tersebut tidak mengetahui berkaitan cadangan atau sebarang kelulusan perlombongan diberi kepada Syarikat The One Minerals Sdn Bhd.

"Kami juga ingin menarik perhatian kepada mana-mana pihak yang mahu melabur dalam industri perlombongan hendaklah mematuhi perundangan dan peraturan ditetapkan Pihak Berkuasa Persekutuan serta Pihak Berkuasa Negeri masing-masing seperti Akta Pembangunan Mineral 1994 dan Enakmen Mineral Negeri-Negeri," katanya.