'Infrastruktur sukan bukan untuk golongan tertentu sahaja'

Iklan
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KEMENTERIAN Belia dan Sukan berharap kerajaan negeri atau majlis daerah yang mempunyai infrastruktur sukan sendiri harus turut membuka kemudahan itu kepada orang awam.

Ia susulan langkah yang diambil KBS dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang membuka peluang kepada orang ramai untuk beriadah di trek Stadium Nasional secara percuma pada hari Sabtu dan Ahad dari 7 hingga 10 pagi.

Iklan
Iklan

Inisiatif ini bertujuan memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai pengalaman berlari di dalam Stadium Nasional yang juga venue sukan utama di Malaysia.

Menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata masyarakat kini sudah bijak memilih gaya hidup sihat dan kemudahan yang sedia ada sepatutnya dimanfaat sebaik mungkin untuk kegunaan orang ramai.

Iklan

"Kita tidak boleh simpan kemudahan kita untuk kegunaan diri dan atlet sahaja. Kita hendak memastikan rakyat juga menikmati infrastruktur sukan yang sedia ada.

"Saya faham ada tempat ada infrastruktur sukan tapi hendak guna agak susah sekali, ada yang kenakan caj yang agak mahal...mungkin ada keperluan untuk bayar maintainance tapi ia patut dibuka kepada umum. Apa guna ada tempat gah tapi diguna oleh segelintir sahaja," katanya selepas pelancaran penggunaan trek Stadium Nasional secara percuma di sini hari ini.

Iklan

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata KBS dan PSM akan meneliti cadangan sama ada untuk membuka kemudahan trek Stadium Nasional ini pada waktu malam dan juga diperluaskan kepada hari biasa dan tidak tertumpu pada waktu hujung minggu.

"Selain kemudahan digunakan pada waktu malam, kita juga bercadang untuk buka dari Isnin hingga Jumaat di mana kalau orang balik kerja agak lambat dan mereka masih mahu bersukan, ada infrastruktur disediakan. Kalau hanya dibuka pada waktu pagi dan hujung minggu saja, kadang kala ia tidak mencukupi untuk orang awam," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PSM Nik Razeen Adam Daud berkata penggunaan percuma ini adalh salah satu tanggungjawab sosial korporat bagi menggalakkan rakyat untuk bersukan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Beliau berkata pihaknya juga mahu mengubah persepsi bahawa kemudahan sukan yang diuruskan bukan hanya dikhususkan untuk acara atau aktiviti berbayar dan berprestij tinggi saja, malah boleh digunakan oleh rakyat serta komuniti sekitar.

Katanya, bukan sahaja trek di dalam Stadium Nasional, malahan banyak lagi kemudahan yang disediakan secara percuma untuk kegunaan orang ramai di Bandar Sukan Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Sports City) itu.

"Bukan ini sahaja yang percuma kepada orang ramai tapi juga gelanggang futsal, gelanggang bola keranjang, gimnasium, skate park, trek larian dan kayuhan basikal di sekeliling stadium juga adalah percuma dan dibuka sehingga waktu malam.

"Untuk di dalam, kami sedang perhalusi operasi waktu malam kerana memerlukan lampu. Kita akan teliti dari segi kos, jika tidak begitu banyak kita akan buka juga pada waktu malam. Selain kita juga akan meneliti untuk menyediakan khidmat medik," katanya.- Bernama