Kerajaan setuju pendaftaran Kontraktor G1 dibuka semula

Iklan
Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Kerajaan bersetuju untuk membuka semula pendaftaran Kontraktor G1 (Bumiputera) bermula 1 September ini.

Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam satu kenyataan bersama berkata, ia akan memberi peluang kepada kontraktor baharu Bumiputera terutamanya generasi muda yang berkelayakan teknikal untuk terlibat lebih aktif dalam industri pembinaan khususnya mengendalikan projek kerajaan.

Iklan
Iklan

"Kerajaan Persekutuan menyedari keperluan untuk mengkaji semula pendaftaran Kontraktor G1 (Bumiputera) setelah 14 tahun pendaftarannya dibekukan. Berdasarkan statistik terkini, jumlah Kontraktor G1 (Bumiputera) yang telah berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) adalah sebanyak 21,495 syarikat.

"Daripada jumlah tersebut, 70 peratus adalah Kontraktor G1 (Bumiputera) yang mempunyai rekod pendaftaran melebihi 20 tahun dan keadaan ini tidak memberi peluang kepada kontraktor Bumiputera yang baharu untuk menyertai perolehan kerajaan. Baki 30 peratus lagi adalah kontraktor G1 (Bumiputera) yang mempunyai rekod pendaftaran di antara tiga hingga 20 tahun mengikut bidang pengkhususan masing-masing," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Iklan

Katanya, berasaskan iltizam untuk mencapai nilai faedah terbaik kepada kerajaan dan rakyat, satu platform keusahawanan dalam industri pembinaan perlu diperkukuhkan.

"Ia juga menjadi wadah untuk melatih kontraktor Bumiputera bagi meningkatkan lagi kapasiti dan kemampuan mereka ke gred yang lebih tinggi. Menyedari hakikat ini, kerajaan berpandangan adalah wajar pendaftaran kontraktor G1(Bumiputera) dibuka semula kepada rakyat khususnya kepada golongan belia Bumiputera yang berkelayakan," katanya.

Iklan

Menurutnya, jemaah menteri juga bersetuju supaya had nilai penawaran kerja-kerja kerajaan yang ditawarkan kepada Kontraktor G1 (Bumiputera) wajar dikaji semula.

"Sehubungan itu, Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi serta agensi lain yang berkaitan akan memperhalusi had nilai ini dengan mengambil kira kesan kenaikan kos dalam pelaksanaan projek-projek semasa Kerajaan.

"Kajian ini bagi memastikan keutamaan dan pengukuhan penyertaan Bumiputera dalam perolehan Kerajaan dari segi nilai perolehan kontrak serta dapat merapatkan jurang pendapatan antara kaum tanpa menjejaskan ekosistem industri pembinaan negara selaras dengan prinsip Wawasan Kemakmuran Bersama," katanya.