Berbeza pandangan bukan bererti gaduh: Marzuki

Iklan
Marzuki ketika menyampaikan sijil penghargaan kepada Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Tan Sri Matshah Safuan yang membentangkan kertas kerja Memperkasa Rangkaian Usahawan Melayu dan Bumiputera.

KAJANG - Perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) dengan pendirian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menggambarkan bahawa kerajaan kini sedang bertelingkah.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Marzuki Yahya berkata, malah situasi itu dianggap biasa memandangkan kerajaan hari ini mengamalkan prinsip keterbukaan.

Iklan
Iklan

"Itu biasa...berbeza pandangan bukan bererti kita bergaduh. Kita pun kena faham kita (kerajaan) bersifat keterbukaan dan kita sentiasa terbuka dan menerima apa sahaja pandangan dan juga ungkapan mereka (pemimpin PH) nak keluarkan,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Kepimpinan Berhikmah-Mendepani Cabaran Abad 21 di sini hari ini.

Marzuki selepas merasmikan Konvensyen Kepimpinan Berhikmah-Mendepani Cabaran Abad 21 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun perbezaan pendapat itu wujud dalam sesuatu isu, namun dari segi keputusan ditetapkan secara bersama.

Iklan

"Dari segi soal keputusan kerajaan sudah ada keputusan dan hari ini saya menyeru supaya kita menerima perbezaan tapi bukan bererti kita nak bergaduh dengan perkara-perkara yang remeh temeh ini.

"Contoh isu Zakir Naik ini, kalau kita nak bergaduh, dia bukan rakyat Malaysia pun, tapi dia ada sebabnya kenapa kita pertahankan agar dia terbela. Itu sahaja,” katanya.

Iklan

Pada masa sama, beliau turut tidak menafikan terdapat pihak-pihak tertentu cuba mengambil kesempatan untuk mengeruhkan keadaan sekali gus mempengaruhi rakyat untuk tidak mempercayai kepimpinan kerajaan PH.

"Setakat ini hari kita tak sampai begitu berlarutan (terjejas) sebab kita pun lama dalam politik. Kalau setiap isu itu bila ada masalah sudah pastilah akan yang ada menangguk di air yang keruh.

"Tapi bagi kita itu perkara biasa dan kita anggap itu satu tentangan hebat buat kita. Insya-ALLAH PH akan terus menjalankan tanggungjawab kepada negara,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai konvensyen, beliau mengharapkan program seumpama itu dapat terus dilaksanakan agar dapat memberi penekanan serta pemahaman kepada anak muda mengenai situasi negara hari ini.

"Kita semua sedia maklum anak-anak muda hari ini harus diberi penekanan yang lebih supaya mereka dapat memahami situasi di negara.

"Sejak pemerintahan kerajaan baharu, banyak isu-isu politik dimainkan dan kita harap supaya ini dapat kita bendung dan kawal kerana Malaysia negara yang harmoni dan pelbagai kaum serta agama dan kita pupuk ini sejak merdeka dan ia harus sekarang dan sampai bila-bila demi negara tercinta,” katanya.

Katanya, melalui konvensyen seperti itu juga boleh dianggap sebagai platform yang mampu menyatukan orang Melayu yang didakwa kini sudah berpecah.

"Orang Melayu berpecah dari segi ideologi politik dan pandangan masing-masing sehingga kita menjadi lemah. Sebab itu kita sarankan supaya melalui konvensyen-konvensyen seperti ini boleh mengajak orang Melayu supaya bersatu kerana suara orang Melayu ini kuat.

"Majoriti negara ini didominasi orang Melayu. Tapi masalahnya kita lemah kerana berpecah dan sebab itu saya berharap bermula sekarang dengan kepimpinan sedia ada memikirkan bagaimana kita meletakkan orang Melayu itu dalam satu pasukan yang mantap,” katanya.