SABAK BERNAM - Keluarga jemaah haji, Walas Kusaini yang meninggal dunia di Tanah Suci itu reda dengan pemergian ibu mereka.
Mereka juga menganggap wanita itu bertuah kerana menjadi insan terpilih meninggal dunia ketika mengerjakan haji.
Anak bongsu Allahyarham Walas, Siti Norain Mohd Nor, 29, berkata, ibunya pernah meluahkan hasrat untuk meninggal dunia di Makkah.
" ALLAH makbulkan permintaannya. Emak meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru-paru di Hospital King Faisal, Makkah pada jam 12.05 tengah hari waktu Jeddah (5.05 petang waktu Malaysia), kelmarin," katanya.
Siti Norain berkata, arwah ibunya yang juga bekas pekerja di sebuah kilang memproses sotong di Sekinchan mengerjakan haji sendirian dan sempat bertemu semua anak-anak-anak dan saudara-mara sebelum bertolak ke Makkah.
"Setiap tahun emak mengucapkan kata-kata sama menyebabkan kami adik-beradik sudah lali tetapi tidak sangka tahun ini kata-katanya itu menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui di rumah arwah ibunya di Simpang Empat Tanah Lesen, Pekan Sungai Nibong semalam.
Tambah Siti Norain, ibunya sempat membeli beberapa barang dari Tanah Suci seperti air zamzam, kismis dan kurma untuk dibawa pulang ke tanah air pada 1 Ogos lalu.
"Emak ada pesan jangan buka dulu barang (air zamzam, kismis dan kurma) yang dibeli dan tunggu dia pulang ke rumah tetapi ALLAH lebih menyayanginya," katanya.
Katanya, dia dan tiga lagi adik-beradiknya tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih serta terkejut dengan pemergian warga emas itu.
"Memang kami tidak percaya apabila pihak Tabung Haji (TH) memaklumkan emak sudah tiada. Dua hari sebelum Aidiladha emak sempat menghantar mesej melalui WhatsApp pada saya bertanya khabar kami semua.
"Jenazah arwah disembahyangkan di Masjidil Haram dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Syara'ik jam 9.30 malam waktu Jeddah (2.30 pagi waktu Malaysia),” katanya.