Kerajaan digesa batalkan projek berisiko

Iklan
Gambar hiasan. Gambar kecil:Chean Chung

KUANTAN - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa membatalkan sebarang projek yang mendatangkan risiko termasuk sisa radioaktif dari kilang nadir bumi seperti Lynas.

Ketua PKR Cabang Indera Mahkota, Lee Chean Chung berkata, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengakui Lynas akan menghasilkan bahan sisa toksik yang berbahaya kepada alam sekitar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ini bererti kerajaan sedar adanya risiko daripada aktiviti di kilang tersebut namun kerajaan seolah-olah melihat sesuatu yang lain tanpa serius memikirkan mengenai kesannya.

"Saya tidak faham kenapa kerajaan hari ini ulang kesilapan besar yang dilakukan kerajaan terdahulu apabila meluluskan penyambungan lesen selama enam bulan lagi dan membolehkan kilang nadir bumi Lynas meneruskan operasinya.

Iklan

"Tindakan itu menyebabkan kerajaan gagal mengotakan janji dalam manifestonya berkaitan penjagaan alam sekitar pada Pilihan Raya Umum yang lalu. Orang kata kerbau dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chean Chung berkata, selama lapan tahun pihaknya berjuang secara konsisten demi memastikan bandar Kuantan dan sekitarnya bersih daripada sebarang projek yang mendatangkan risiko.

Iklan

"Satu juta tan dijangka terhasil daripada sisa kilang Lynas ini bukan jumlah yang kecil dan di kawasan mana sisa ini akan disimpan?

"Apakah kerajaan mahu rakyat di Kuantan dan Indera Mahkota korbankan kesejahteraan alam sekitar dan kesihatan mereka asalkan kerajaan dapat menarik minat pelaburan?," katanya.

Chean Chung berkata, meskipun kerajaan membuat keputusan yang amat mengecewakan penduduk namun masih masih ada ruang untuk kembali kepada kebenaran.

Menurutnya, Lynas akan tamat lesennya pada bulan hadapan justeru pihaknya mendesak dan merayu kerajaan mempertimbangkan semula keputusan itu.

"Kita harap kerajaan negeri tidak membenarkan tapak baru dibuka untuk penyimpanan sisa tersebut.

"Sewajarnya kerajaan menggunakan kesempatan terbaik untuk menunjukkan komitmen dalam menyelesaikan isu ini,” katanya.

Kenyataannya itu turut disokong bersama oleh Timbalannya, Rafar Ahmad; Naib Ketua I, Razali AliasNaib Ketua II, K Ravichandran dan Naib Ketua III, Kamarul Hatta Mohd Ali.