DEHRADUN - Sekurang-kurangnya 120 orang cedera dalam festival baling batu di negeri Uttarakhand di India pada Khamis lalu.
Meskipun diberi amaran festival itu berisiko mendatangkan kecederaan parah, namun orang ramai tetap menyertainya kerana ia sebahagian ritual purba sebagai menghormati dewa Hindu, Barahi Dewi.
Dikenali sebagai 'Bagwal' festival tersebut diadakan di Kuil Devidhura di daerah Champawat.
Dalam ritual itu, orang ramai dibahagikan kepada dua kumpulan. Peserta festival kemudian membaling batu ke arah satu sama lain.
Orang ramai turut membawa perisai bambu bagi mengelak terkena batu besar.
Ritual itu berakhir sebaik sahaja ketua sami melambaikan tangannya ke udara.
Pihak berkuasa turut mendirikan khemah di luar tapak festival bagi merawat peserta yang cedera.
Pada masa lalu, pihak berkuasa pernah mencadangkan batu digantikan dengan bunga dan buah-buahan bagi mengelak risiko kecederaan parah. - Agensi