Tunggakan sewa PPR: Potongan terus sudah dilaksanakan

Iklan
Dzulkefly (depan dari kiri) bersama mereka yang berjaya dalam Undian Terbuka Taman Saujana Putra, Kesang Tangkak semalam.

ISKANDAR PUTERI - Pemotongan terus bayaran sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) daripada bantuan bulanan penghuni yang menerima bantuan daripada pelbagai pihak telah pun mula dilaksanakan Kerajaan Johor sejak bulan lalu.

Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia, Dzulkefly Ahmad berkata, buat masa ini pemotongan yang dibuat melalui Setiausaha Kerajaan Johor (SUKJ) Bahagian Perumahan telah dilaksanakan oleh Yayasan Penyayang Iskandar Puteri di bawah Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

Iklan
Iklan

"Setakat ini kita dapat kerjasama MBIP sejak bulan lepas dan bayaran terus kepada SUKJ Bahagian Perumahan. Saya difahamkan beberapa yayasan PBT akan mengikut cara tersebut.

"Ini bermakna duit tersebut (bantuan bulanan) tidak diberi terus kepada penerima, tetapi terus dibayar kepada SUKJ Bahagian Perumahan," katanya ketika ditanya mengenai perkembangan cadangan berkenaan yang pernah diutarakan sebelum ini.

Iklan

Terdahulu, beliau hadir menyempurnakan Majlis Undian Terbuka Taman Saujana Putra, Kesang, Tangkak di Bangunan Dato' Abdul Rahman Andak dekat Kota Iskandar di sini hari ini.

Dzulkefly yang juga Adun Kota Iskandar berkata, pihaknya juga turut berunding dengan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) yang turut memberi bantuan sama untuk merealisasikan cadangan tersebut.

Iklan

"Langkah ini bagi memastikan bantuan yang disalurkan digunakan dengan sebaiknya sebagaimana ia diluluskan termasuk ansuran sewa kediaman mereka.

"Saya difahamkan yayasan PBT kebiasaannya menyalurkan bantuan bulanan terus untuk tempoh setahun dan sangat bahaya jika ia diberi kepada penerima bantuan kerana khuatir akan disalahguna.

"Sebagai contoh ada penerima bantuan yang terpaksa berdepan pelbagai masalah. Setidaknya jika ansuran rumah mereka dijelaskan menerusi pemotongan yang dibuat, maka mereka masih ada tempat tinggal," katanya.

Beliau memaklumkan, pihaknya juga telah berbincang dengan pengerusi-pengerusi yayasan PBT yang terlibat mengenai cadangan tersebut dan ia mendapat reaksi positif.

"Perkara tersebut (pemotongan terus SUKJ Perumahan) perlu dibawa dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pemegang Amanah yayasan PBT sebelum kata putus diberikan, tetapi secara prinsip cadangan tersebut telah diterima dengan baik," katanya.