KUALA TERENGGANU - Program larian ‘Run From Diabetes’ mencatat sejarah apabila berjaya menarik kira-kira 2,000 peserta dan menjadi acara larian pertama merentasi jambatan angkat Terengganu atau ‘drawbridge’ sejak pembukaannya secara rasmi pada 1 Ogos lalu.
Program anjuran Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) itu juga berjaya menarik peserta daripada pelbagai peringkat usia dari dalam dan luar negara, dan sudah memasuki tahun ketiga penganjurannya.
Pengarah Perubatan KTS, Dr Mohamad Yusof Md Kassim berkata, acara itu terbahagi kepada empat kategori iaitu 3 kilometer (km), 5 km dan 10 km dan larian korporat.
"Antara objektif utama program ini adalah bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai gejala kencing manis dan mengamalkan gaya hidup sihat sambil beriadah secara santai.
"Kesedaran mengenai bahaya penyakit seperti kencing manis ini tidak hanya dapat dilakukan di dalam hospital malah mendapat capaian yang lebih tinggi jika dilakukan dengan anjuran acara yang sebegini dan kami sangat teruja apabila mendapat penyertaan menggalakkan,” katanya selepas merasmikan program itu di sini, hari ini.
Selain daripada larian tersebut, pelbagai aktiviti keluarga turut diadakan, antaranya pertandingan 'beyblade', mewarna, cabutan bertuah, derma darah, pemeriksaan kesihatan percuma oleh pasukan medik KTS.
Drawbridge atau jambatan angkat pertama di Asia Tenggara itu sepanjang 638 meter mula dibuka secara rasmi kepada orang awam bermula 6 pagi pada 1 Ogos lalu.
Jambatan bernilai RM248 juta itu menghubungkan muara selatan di pusat bandar raya Kuala Terengganu dan muara utara di Seberang Takir, Kuala Nerus.