KANGAR - Perniagaan Emas Anuar Sdn Bhd membuka cawangannya yang pertama di Perlis, 22 Disember lalu.
Pengarah Urusannya, Mohd Khurulanuar Mhamad Noor berkata, cawangan tersebut yang beroperasi di Kompleks PKENPS di sini adalah cawangan kelapan syarikat mereka.
Katanya, dorongan dan sokongan pelanggan di Perlis menjadi titik permulaan pembukaan cawangan di negeri berkenaan.
"Sebelum ini, pelanggan-pelanggan di negeri ini terpaksa ke Kedah dan Pulau Pinang semata-mata untuk beli emas dengan kita.
"Jadi mereka pun cadang kepada kami supaya buka satu cawangan di Perlis ni untuk mudahkan mereka mendapatkan emas daripada kami," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, syarikat mereka menjaga hubungan dengan pelanggan dan menganggap mereka seperti keluarga sendiri.
"Malah ada pelanggan yang dah lama dengan syarikat kami ini. Dari mereka berkawan, berkahwin sampai dah dapat anak, cucu, masih lagi setia dengan Emas Anuar.
"Sebagai penghargaan kepada pelanggan juga, kami mengadakan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah tiga buah kereta Perodua Axia dengan setiap pembelian RM999.
"Tempoh pembelian ini berlangsung mulai 1 Disember hingga 5 Mac depan, kemudian baru kita akan buat cabutan," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Khurulanuar berkata, kenduri rakyat di majlis pembukaan cawangan Kangar itu dihadiri oleh 4,000 pelanggan dan penduduk sekitar.
"Kita juga menjemput pelajar-pelajar daripada Maahad Tahfiz Ibnusina Ibnusina al Mawaddah, Maahad Tahfiz Ibnusina as Syakirin dan Maahad tahfiz Ibnusina Al Barakat untuk bersama-sama memeriahkan majlis kita.
"Selain itu, kita juga mengadakan bacaan Yassin untuk memohon keberkatan daripada ALLAH SWT dan memohon semoga dimurahkan rezeki supaya sentiasa dapat berkongsi dengan pelanggan," katanya yang mengucapkan ribuan terima kasih kepada pelanggannya di seluruh Malaysia yang sentiasa menyokong mereka.
Sementara itu, seorang pelanggan dari Pulau Langkawi, Hasmah Hashim, 40, berkata, Emas Anuar menawarkan pelbagai reka bentuk terkini selain harga yang berpatutan.
"Saya ni minat barang kemas sejak belum berkahwin lagi, tapi dulu duk beli kat Langkawi saja, sampai la suatu hari kawan-kawan mula perkenalkan Emas Anuar kepada saya.
"Sejak itu, saya setia dengan Emas Anuar dan hari ini pun saya sanggup datang jauh dari Langkawi untuk memeriahkan majlis pembukaan cawangan mereka," katanya yang turut membeli rantai Sajat Lipan dan Kendi.