Bahtera kita keutamaan kita

Iklan
Mujahid

KITA perlu kembali menetapkan keutamaan ketika menilai segala isu yang kita hadapi.

Dalam menentukan keutamaan, kita perlu tegas mempertahankannya dengan mengambil kira perancangan licik pihak yang terdesak yang membawa segala isu kepada naratif agama sempit dan perkauman sempit.

Iklan
Iklan

Keutamaan kita pada persimpangan yang kritikal untuk Malaysia Baru ialah mempertahankan kesepaduan seluruh rakyat Malaysia demi mengekalkan keharmonian dan perpaduan nasional.

Ia umpama perjalanan sebuah bahtera yang berhempas pulas berusaha untuk sampai ke pulau idaman.

Iklan

Sesungguhnya perjalanan bahtera ini panjang dan berkatnya jua telah membawa di mana kita berada pada hari ini. Setiap kali badai melanda, semua kita harunginya bersama, setiap kali tiang lancang patah, kita bangunkan semula.

Nakhoda demi nakhoda terkorban dan akan pasti ada penggantinya. Semua kita adalah bahtera itu. Bahtera itu ialah keutamaan kita.

Iklan

Setiap kali kita berbalah usai ribut reda, kita diingatkan dengan tulisan besar:"Janganlah sampai menikam dan membunuh warga bahtera ini kerana semua kita mahu bahtera selamat meneruskan perjalanannya."

Demi meneruskan perjalanan dalam keadaan bahtera yang terus gagah, kita tinggalkan persengketaan untuk mencapai matlamat yang satu dan cita-cita yang satu.

Itulah keutamaan yang kita warisi daripada para nakhoda penuh hikmah sebelumnya.

Walaupun kita satu warga yang sama, kita juga disertai mereka yang kadang kala punya kepentingan sendiri yang keutamaannya ialah memenuhi kehendak peribadi yang sempit.

Mereka sanggup meniupkan api kebencian dan permusuhan demi mencapai agenda peribadi mereka.

Warga yang satu ini tidak dikenali atas warna kulit mahupun rasnya. Tetapi sayang, pada setiap kesempatan, para oportunis mencurahkan api permusuhan demi menghancurkan kesepaduan kita.

Mereka sanggup berlagak alim dan menjadi orang yang paling patriotik, namun di sebalik topeng kepuraan, mereka cuba merampas bahtera ke arah matlamat sendiri, justeru menggagalkan Harapan ke pulau impian kita bersama.

Ada yang mahu menumpang kerana mahu meninggalkan bahteranya.

Lalu mereka melambai-lambai di celah pukulan ombak mahu menaiki bahtera kita.

Bahtera ini berjiwa besar walaupun sudah cukup kerenah rencam dan kepelbagaian yang dipikulnya.

Lalu, tangan dihulur, ‘ayuh bersama’. Tapi barang diingat, nasihat dan petunjuk mesti sentiasa ditaati jangan sesekali berbuat onar.

Adat menumpang biarlah berpadan, tuan rumah menjadi teladan, jangan berlebihan dalam tindakan, takut diceroboh setiap sempadan.

Demikian pada setiap tempat dalam bahtera, diingatkan kepada yang baru dan yang lama agar tidak menambah onar pada ketenteraman bahtera.

Diam itu mahal harganya, lebih banyak bercakap lebih banyak nanti salahnya.

Awas musuh-musuh dalam kalangan warga yang mahu memporak-perandakan keadaan.

Mereka sanggup membakar bahtera, malah menebuk lubang biar semua tenggelam. Taktik mereka mencipta musuh khayalan agar senang semua orang mengikut kehendaknya.

Keutamaan kita ialah memelihara bahtera agar selamat, mengurus perbezaaan dengan cermat, membina saling hormat dan menanam cinta sentiasa tersemat.

Dalam pada itu, kita harus bersatu hati dan jujur untuk menolak musuh kedamaian kita yang mencetus perpecahan.

Keutamaan kita bukan mempertahankan individu atau institusi tetapi keutamaan kita ialah mempertahankan kesepaduan dan perpaduan.

Sesiapa sahaja yang menghalang kita daripada usaha berterusan memupuk perpaduan yang terbina selama ini akan kita hadapi bersama.

Jangan mengheret individu atau institusi sehingga menggadaikan perpaduan negara apatah lagi ada pihak yang mahu mengheret masalah individu/institusi dengan menetapkan sikap sebelah pihak semata-mata tanpa melihat gambaran besar keharmonian yang terbentuk selama ini oleh berbagai pihak.

Ingatlah hasil kita hari ini adalah kesepakatan semua pihak dan bukan hanya sepihak.

Saya menyeru kepada semua, peliharalah bahtera ini, tetapkan haluan kita, jangan dipesong destinasi kita.

Tiada badai yang tidak kita harungi, tiada ombak yang tidak kita kuasai.

Hanya kerana segelintir manusia buat onar tak mungkin kita terhalang dari menetapkan keutamaan kita.

Perpaduan negara keutamaan kita!

*Datuk Seri Dr Mujahid Yusof ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Ahli Parlimen Parit Buntar dan juga Naib Presiden Parti Amanah Nasional (AMANAH)