Agong, Raja Permaisuri berangkat ke Brunei

Iklan

SEPANG - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke Brunei hari ini, bagi mengadakan lawatan negara selama tiga hari.

Ini merupakan lawatan negara yang pertama oleh Al-Sultan Abdullah sejak ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lepas.

Iklan
Iklan

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada kira-kira 10.55 pagi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador hadir mengucapkan selamat berangkat kepada baginda berdua.

Iklan

Sebelum berangkat, Yang di-Pertuan Agong memeriksa barisan kehormat Batalion 1 Rejimen Askar Melayu Diraja terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota dengan diiringi tembakan meriam 21 das dan lagu Negaraku.

Lawatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ini bertujuan memperkukuh hubungan persahabatan serta kerjasama sedia ada antara Malaysia dan Brunei.

Iklan

Turut mengiringi lawatan Seri Paduka berdua ke Brunei ialah Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Sempena lawatan pada kali ini, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan untuk menghadiri majlis santapan malam bersama rakyat Malaysia di Brunei malam ini.

Pada hari kedua lawatan negara, baginda berdua akan berangkat ke Istana Nurul Iman untuk menghadiri istiadat sambutan negara.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut dijangka dikurniakan darjah kebesaran Brunei oleh Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

Seri Paduka berdua kemudian dijadual untuk mengadakan lawatan ke Muzium Alat-Alat Kebesaran Diraja.

Dalam atur cara berasingan, Al-Sultan Abdullah akan mengadakan lawatan ke Dermaga Kastam Diraja dan Kampong Ayer manakala Tunku Azizah akan melawat ke Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan dan Ibu Pejabat Persatuan Pandu Puteri Negara Brunei Darussalam.

Pada sebelah malam, pasangan diraja itu bakal menghadiri majlis persantapan diraja di Istana Nurul Iman.

Pada hari terakhir lawatan, Sultan Abdullah dijadual mengadakan lawatan ke Majlis Ugama Islam Negara Brunei Darussalam manakala Tunku Azizah akan melawat Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (W.I) Negara Brunei Darussalam di Tutong, sebelum baginda berdua berangkat pulang ke tanah air.- Bernama