IPOH - [DIKEMASKINI] Keputusan ibu bapa remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, untuk melakukan bedah siasat kedua terhadap mayat anak mereka itu tidak menjejaskan reputasi pakar patologi negara.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, Maebh Jaseprine Quoirin, 45 dan Sebastian Marie Philipe, 47 mempunyai hak meminta untuk melakukan proses itu di luar negara.
Menurutnya, mayat remaja berkenaan dituntut oleh keluarga itu dari Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, Negeri Sembilan.
"Itu terpulang kepada mereka (keluarga) dan ia adalah hak mereka untuk buat post mortem (bedah siasat) kedua di luar negara.
"Apa yang pasti, mereka sudah tuntut mayatnya (Nora Anne) dan terpulang kepada mereka untuk buat siasatan selanjutnya,” katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan di Kuil Sri Maha Mariamman, Taman Lapangan Panorama Perdana di sini hari ini.
Boon Chye berkata, pihaknya yakin dengan kecekapan pakar patologi yang melaksanakan bedah siasat mayat remaja Ireland itu.
"Kita memang yakin dengan profesionalisme pakar-pakar patologi yang melakukan bedah siasat itu.
"Ini (bedah siasat kedua) tidak akan menggoyahkan keyakinan dan kecekapan pakar patologi negara kita,” katanya.
Semalam, Sinar Harian memetik laporan portal Daily Mirror, keluarga Nora Anne mungkin meminta bedah siasat kedua itu diadakan di Britain atau Perancis manakala siasatan polis berhubung kes tersebut masih diteruskan.
ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga Nora Anne mungkin minta bedah siasat kedua
Maebh dan Sebastian sedang membincangkan perkara itu bagi memastikan ahli patologi tidak terlepas sebarang bukti yang boleh dikaitkan dengan kematian Nora Anne.
Bedah siasat ke atas Nora Anne pada 14 Ogos lalu dikendalikan pakar Patologi dari Hospital Kuala Lumpur, Dr Siew Sheue Feng bersama Dr Hanif Mohammad dari Hospital Tuanku Jaafar.
Hasil bedah siasat mengesahkan remaja itu meninggal dunia disebabkan kebocoran pada usus mungkin akibat kelaparan dan stres berpanjangan.