SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan belum membuat keputusan melarang penceramah bebas Dr Zakir Naik berceramah di negeri ini susulan kontroversi yang melibatkannya baru-baru ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau akan membincangkan perkara itu dengan pihak berkaitan jika ada permohonan.
Iklan
Iklan
"Setakat ini tiada mana-mana pihak yang membuat permohonan untuk bawa penceramah itu ke negeri ini. Jika ada, kita akan bincangkannya dan buat keputusan.
"Paling penting sesiapa sahaja yang datang berceramah atau mengajar perlu mendapat tauliah dan pengesahan dari Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan (JHEAINS)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan, Kedah menjadi negeri kedua mengikut jejak langkah Perlis yang melarang penceramah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik berceramah di negeri itu, susulan kenyataannya terhadap kaum di negara ini baru-baru ini.
Menurut Exco Agama Kedah Ismail Salleh, keputusan itu diambil bagi bertujuan memastikan keharmonian kaum di negara ini terpelihara.
ARTIKEL BERKAITAN: Kedah negeri kedua larang ceramah Zakir Naik