KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menyifatkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Perpaduan Kaum), P Waytha Moorthy berhubung hak asasi di negara ini adalah bersifat peribadi.
Katanya, kenyataan itu juga sama sekali tidak mewakili pendirian kerajaan.
"Itu pandangannya, jadi saya tak boleh komen sebab sekarang apabila beliau berada dalam kerajaan adalah seperti mana menteri-menteri lain adalah memperjuangkan dasar-dasar yang ditetapkan kerajaan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, hari ini.
Kelmarin video lama Moorthy tular di media sosial dengan kandungan memburukkan negara termasuk kononnya Malaysia menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik.
Selain itu, antara kandungan kenyataan Moorthy adalah mendakwa bahawa 'Malaysia hanya indah khabar daripada rupa'.
Katanya, ramai pihak luar menganggap Malaysia adalah negara Islam yang moden dan sederhana, tetapi realitinya adalah sebaliknya.
Difahamkan video itu dirakam di Belanda ketika Moorthy hadir ke negara berkenaan bagi 'meluahkan perasaan' mengenai perihal Malaysia.
Menjawab perkara ini, Moorthy menerusi satu kenyataan malam tadi berkata, penyebaran video yang tular berhubung kenyataan kontroversinya mengenai berlakunya pencabulan hak asasi di Malaysia merupakan sedutan video 10 tahun lepas.
Katanya, beliau telah diwawancara oleh sebuah stesen TV Belanda selepas 'ledakan' perhimpunan Hindraf pada November 2007.
Dalam pada itu, ketika ditanya pendapat Mujahid sama ada benar atau tidak kenyataan Moorthy itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan kita jelas mengenai kedudukan Islam, Perlembagaan Persekutuan; Kebebasan Beragama tertakluk pada Artikel 11(4) juga tentang hak Bumiputera yang PH tak pernah sebut dalam manifesto untuk dihapuskan.
"Itu pendirian rasmi kita, jadi apa sahaja pendirian sama ada seorang itu nyatakan sebelum ini atau selepas ini, kami tidak bertanggungjawab," katanya.
Dalam pada itu ketika ditanya sama ada perlu Moorthy memohon maaf, Mujahid berkata 'beliau tidak tahu sebab kenyataan itu sudah dibuat pada masa yang telah lepas'.
"Itu atas kapasiti peribadinya, jadi kenapa kita hendak dibebankan dengan pendiriannya itu," katanya.