YAN - Zakat Daerah Yan menyalurkan sumbangan beg sekolah kepada 21 buah sekolah terpilih sekitar daerah ini.
Pegawai Zakat Yan, Logman Husain berkata, pihaknya membuat penyerahan beg sekolah kepada guru yang mewakili sekolah masing-masing.
Katanya, setiap sekolah menerima 50 beg daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah untuk diedarkan kepada anak-anak asnaf di sekolah berkenaan.
"Sebanyak 1050 beg diedarkan di Masjid Dulang Kechil Yan bagi disalurkan kepada mereka yang layak," katanya.
Logman berkata, bantuan ini bertujuan meringankan beban ibu bapa bagi menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak mereka.
"Kita faham, ramai masyarakat kita yang masih memerlukan bantuan dan diharapkan dengan bantuan sebegini mereka akan berasa sedikit lega," katanya.
Logman berkata, pihaknya memberi kepercayaan kepada pihak guru kerana yakin mereka adalah golongan yang lebih dekat dengan pelajar.
"Hari-hari berjumpa dan mengajar sudah pasti guru lebih rapat dan mengetahui latar belakang penerima," katanya.
Menurut Logman, masyarakat disaran untuk menunaikan kewajipan berzakat kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).
"Kita hanya mahu memastikan agar agihan zakat dapat dilaksanakan dengan lebih efektif dan sistematik.
"Kita nak semua asnaf yang layak sahaja menerima bantuan sebegini kerana mereka benar-benar memerlukan," katanya.