KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Biarpun telah beberapa cubaan oleh pendakwa raya mahupun barisan peguam bela Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangguhkan prosiding perbicaraan kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap bekas Perdana Menteri Malaysia ke-6, prosiding perbicaraan yang ditetapkan pada 19 Ogos akhirnya bermula esok.
Bermula dari permohonan penangguhan perbicaraan oleh pendakwa raya dilakukan secara lisan di Mahkamah Tinggi, permohonan dilakukan secara rasmi dengan memfailkan permohonan melalui notis usul di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang bakal mendengar perbicaraan, Collin Lawrence Sequerah.
ARTIKEL BERKAITAN:Perbicaraan kes 1MDB Najib tetap diteruskan
Rayuan oleh pendakwa raya dan pasukan peguam Najib terpaksa diteruskan di Mahkamah Rayuan apabila notis usul ditolak Mahkamah Tinggi, sebelum Mahkamah Rayuan turut menolak rayuan tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN:Rayuan Tommy ditolak, bicara 1MDB tetap bermula 19 Ogos
Keputusan menolak supaya perbicaraan kes itu ditangguhkan bagaimanapun dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan apabila panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan itu selepas mendapati hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan itu tidak terkhilaf dalam pelaksanaan budi bicaranya.
ARTIKEL BERKAITAN:1MDB: Najib gagal tangguh prosiding
Perbicaraan kes 1MDB di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah dijadualkan bermula pada 19 Ogos hingga 22 Ogos dan bersambung pada 26 Ogos hingga 29 Ogos.
Tarikh lain yang ditetapkan ialah sepanjang September, Oktober dan dua minggu pertama November dengan setiap hari Jumaat ditetapkan tiada perbicaraan.
ARTIKEL BERKAITAN:Perbicaraan kes 1MDB Najib mula 19 Ogos
Skandal mega yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Kewangan berhubung salah guna wang negara itu mencuri tumpuan dunia sejak dilaporkan media pada 2015.
Skandal itu juga dikatakan menjadi faktor utama tumbangnya pemerintahan kerajaan BN pada PRU 9 Mei tahun lalu.
Alasan utama penangguhan perbicaraan kes 1MDB adalah supaya perbicaraan kes SRC International yang telah berlangsung selama 52 hari diselesaikan terlebih dahulu.
Namun hakim Collin menegaskan kes berkepentingan awam itu perlu diteruskan selepas hampir setahun pendakwaan dijalankan.
Pada masa yang sama, pasukan peguambela Najib yang diketuai Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah turut mengemukakan permohonan mencabar pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai pendakwa raya yang akan mengetuai barisan pendakwaan.
Bagaimanapun selepas rayuan bagi permohonan itu didengar di peringkat Mahkamah Rayuan, Gopal Sri Ram masih kekal mengendalikan perbicaraan semua kes melibatkan skandal 1MDB.
Pasukan pendakwaan akan memanggil lebih 60 saksi tempatan dan antarabangsa bagi memberi keterangan sepanjang perbicaraan dan melibatkan ratusan dokumen termasuk minit mesyuarat lembaga pengarah.
Najib, 67, didakwa atas empat pertuduhan salah guna kedudukan bagi mendapatkan rasuah dan 21 pertuduhan melibatkan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion.
Sehingga kini, Najib telah didakwa di mahkamah sebanyak enam kali dengan 42 pertuduhan jenayah. Najib, yang juga bekas Presiden UMNO, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan.
Kronologi kes 1MDB
2014
12 Disember
Bekas pemimpin UMNO Datuk Khairuddin Abu Hassan membuat laporan polis terhadap 1MDB.
2015
1 Mac
PetroSaudi International nafi laporan dakwaan semua wang yang diperuntukkan kepada 1MDB disalurkan kepada syarikat itu.
6 Mac
Pasukan khas ditubuh bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dana 1MDB.
19 Mei
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mulakan prosiding siasatan
25 Mei
Kementerian Kewangan memanggil dua firma audit 1MDB
3 Jun
Bank Negara Malaysia (BNM) mulakan siasatan rasmi ke atas 1MDB
3 Julai
The Wall Street Journal dan Sarawak Report menerbitkan laporan mendakwa dana 1MDB dipindahkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
4 Julai
Tan Sri Abdul Gani Patail berkata pihak berkuasa pada 3 Julai menyiasat pejabat tiga syarikat yang dikaitkan dengan dakwaan pemindahan dana ke akaun Perdana Menteri dan memperoleh dokumen.
Serbuan ke atas SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd dilakukan penyiasat pasukan petugas khas.
22 Julai
Polis Singapura membekukan dua akaun berkaitan 1MDB
28 Julai
Perkhidmatan Abdul Gani sebagai Peguam Negara ditamatkan mulai 27 Julai 2015 atas sebab-sebab kesihatan, menurut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilantik sebagai Peguam Negara berkuat kuasa pada tarikh yang sama.
29 Julai
Lima anggota panel bebas dibentuk untuk memantau SPRM
30 Julai
SPRM menafikan pegawai kanan terbabit dengan konspirasi menjatuhkan kerajaan.
1 Ogos
Polis menahan tiga individu bagi siasatan berhubung skandal rasuah 1MDB.
3 Ogos
SPRM memaklumkan dana RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik Najib adalah dana sumbangan penderma dan bukannya dari 1MDB.
5 Ogos
Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu Tan Sri Abu Kassim Mohamed disahkan bercuti sehingga seminggu.
Pada sebelah petang, SPRM mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya akan meminta Najib beri penjelasan mengenai dana RM2.6 bilion dalam akaunnya.
SPRM juga mendedahkan penderma dana berkenaan berasal dari Timur Tengah, tetapi tidak mendedahkan identiti penderma.
7 Ogos
Dua pegawai kanan SPRM dipindahkan keluar daripada mengendalikan kes berprofil tinggi.
Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM Datuk Rozaid Yaakob dipindahkan ke JPM.
14 Ogos
Peguam Negara Switzerland umum prosiding jenayah dibuka berkaitan 1MDB terhadap Pejabat Peguam Negara.
9 Oktober
BNM mencadangkan prosiding jenayah terhadap 1MDB kepada Pejabat Peguam Negara kerana 'pendedahan tidak tepat' ekoran perlanggaran Akta Kawalan Pertukaran Wang (ECA) 1953.
13 Oktober
Peguam Negara ketika itu Tan Sri Apandi Ali menutup siasatan BNM ke atas 1MDB atas alasan tiada bukti baharu yang dikemukakan BNM.
2016
30 Januari
Peguam Negara Switzerland, Michael Lauber meminta bantuan Malaysia berhubung siasatan dakwaan penyelewengan AS$4 billion membabitkan 1MDB.
23 Mac
BNM ambil tindakan pentadbiran terhadap 1MDB kerana gagal menghantar dokumen bukti sejak Oktober 2015.
7 April
PAC bentang laporan siasatan di Dewan Rakyat menunjukkan wujud salah laku dalam 1MDB.
PAC turut menyatakan pegawai yang patut disiasat adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
20 Julai
Peguam Negara Amerika Syarikat (AS), Loretta Lynch serta Jabatan Kehakiman AS (DOJ) mengemukakan saman sivil menyita aset 1MDB bernilai AS$ 1 billion.
21 Julai
DOJ memohon untuk merampas 17 aset termasuk hartanah mewah 2017.
5 Januari
Pengurus Cawangan Falcon Private Bank, Jens Fred Sturzenegger didakwa berhubung siasatan Singapura terhadap 1MDB.
31 Oktober
Peguam Negara ketika itu Tan Sri Apandi Ali mengarahkan polis untuk membuat siasatan lanjut berhubung 1MDB.
2018
28 Februari
Indonesia merampas sebuah kapal mewah di Bali yang sedang dicari DOJ sebagai sebahagian daripada siasatan 1MDB.
15 - 16 Mei
Polis menyerbu kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta dan merampas beberapa dokumen.
17 Mei
Polis menyerbu tiga unit kondominium dikaitkan dengan Najib dan merampas kotak mengandungi barangan mewah serta wang tunai.
21 Mei
Kerajaan umum penubuhan pasukan khas untuk menyiasat 1MDB.
7 Jun
SPRM mengeluarkan waran tangkap ke atas bekas Penasihat Khas 1MDB, Low Taek Jho atau Jho Low dan Pengarah Urusan SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil Nik Othman.
11 Jun
Sebanyak 40 buah beg tangan mewah pelbagai jenama dirampas dalam serbuan di sebuah daripada dua kuarters kerajaan di Presint 10, Putrajaya berkaitan siasatan 1MDB.
27 Jun
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh mendedahkan jumlah rampasan dari kediaman Najib dianggarkan antara RM900 juta hingga RM1.1 billion.
29 Jun
Keluarga Najib dilaporkan telah memulakan prosiding undang-undang bagi mendapatkan semula barangan yang dirampas. Ahli keluarga beliau mendakwa barangan yang dirampas kebanyakannya merupakan hadiah yang diterima dari keluarga ternama dari luar negara termasuk keluarga Diraja, untuk pelbagai acara.
3 Julai
Najib ditahan SPRM di rumahnya di Jalan Langgak Duta sekitar jam 2.35 petang.
4 Julai
Najib hadapi pertuduhan berkaitan kes SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Kuala Lumpur.
20 September
Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM2.282 bilion melibatkan dana 1MDB yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah wang yang sama.
****
HAKIM MAHKAMAH TINGGI
Yang Arif Collin Lawrence Sequerah
PASUKAN PENDAKWAAN
Diketuai: Peguam Negara, Tommy Thomas
Datuk Seri Gopal Sri Ram
Ahmad Akram Gharib
Muhammad Mustafa P. Kunyalam
Datuk Mohammad Hanafiah Zakaria
Manoj Kurup
Budiman Lutfi Mohamed
PASUKAN PEGUAMBELA
Diketuai: Peguam Kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah
Harvinderjit Singh
Muhammad Farhan Shafee
Rahmat Hazlan
Syahirah Hanapiah