KUANTAN - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) berharap agar wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini menandatangani aku janji bagi membatalkan operasi kilang memproses nadir bumi, Lynas Corporation Ltd (Lynas) di Gebeng di sini menunaikan janji mereka.
Pengerusinya, Tan Boon Teet berkata, NGO berkenaan menyeru 39 pemimpin PH yang terlibat dalam aku janji tersebut supaya kembali kerana rata-rata mereka kini hilang selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
"Yang saya lihat terus bersuara adalah Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack, namun mereka perlu terus membantah supaya Lynas ini dihentikan.
"Wakil rakyat yang lain senyap walhal dulu kamilah yang buat mereka menang dan kini menjadi pemimpin. Kita (SMSL) berharap mereka kembali dan sedar dengan kesilapan serta menunaikan janji untuk menutup kilang Lynas.
"Kita kini bercadang untuk membuat semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan yang membenarkan Lynas beroperasi enam bulan lagi,” katanya ketika ditemui media pada Himpunan Anti Lynas di Taman Gelora di sini hari ini.
Dalam pada itu, Boon Tet berkata, peserta himpunan turut bertindak mengoyak Manifesto PH pada PRU14 lalu selepas gagal menunaikan janji mentadbir negara berlandaskan prinsip kemampanan.
Menurutnya, keputusan kerajaan itu juga berkemungkinan akan memberi kesan pada PRU15 nanti disebabkan banyak perkara dijanjikan kerajaan sebelum ini diketepikan oleh kerajaan PH dan itu membuatkan rakyat tidak puas hati berkaitan isu Lynas.
"Pada perhimpunan pagi ini peserta bertindak mengoyak kertas manifesto sebagai simbolik kerana tindakan kerajaan membuat pusingan U dalam isu Lynas.
"Sepatutnya, kami membakar manifesto berkenaan, tetapi selepas mendapat nasihat daripada pelbagai pihak, kita hanya mengoyakkan saja sebagai tanda tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan itu,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu mendesak Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad memberi penjelasan mengapa kerajaan membenarkan Lynas terus beroperasi.
"Ini keputusan yang salah dibuat oleh Kabinet. Kenapa dia mahu Lynas kekal di sini? Perdana Menteri kena menjelaskan perkara ini," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Enam bulan sahaja peluang Lynas perbaiki, penuhi syarat