KUALA LUMPUR - Seorang lelaki dipercayai mabuk ditemui tidak sedarkan diri di dalam keretanya berhampiran stesen minyak di Taman Melawati, di sini pagi tadi.
Kejadian itu disedari orang ramai yang curiga melihat kereta jenis Perodua Axia berwarna hijau yang diparkir di bahu jalan kira-kira jam 8 pagi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Kuala Lumpur berkata, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.12 pagi.
"Sampai di lokasi, didapati benar terdapat seorang lelaki dewasa berada dalam sebuah kereta jenis Produa Axia tidak sedarkan diri.
"Ketika anggota bomba cuba mengumpil pintu kereta, mangsa sudah sedarkan diri dan membuka pintu dengan sendiri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, mangsa didapati dalam keadaan mabuk.
Katanya, susulan itu, mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.