KUALA TERENGGANU - Kerajaan hari ini tidak memilih bulu dan akan mengagihkan peruntukan secara sama rata serta tidak meminggirkan sebarang bentuk bantuan di negeri yang dipimpin parti pembangkang.
Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Romli Ishak berkata, bantuan sama rata akan disalurkan ke negeri berkenaan sebagaimana yang diperoleh di negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, bantuan yang diberikan termasuk kemudahan awam serta infrastruktur yang tidak dibaiki dan perlu diberi perhatian.
"Kita tak mengamalkan apa yang diamalkan BN dulu. Dulu, kalau negeri pembangkang mereka tubuh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di mana semua saluran pergi pada jabatan tersebut dan kerajaan negeri tak dapat apa-apa.
"Tetapi kita sekarang di bawah PH, kita masih lagi menyalurkan bantuan secara terus ke negeri pembangkang. Saya beri contoh yang baharu berlaku minggu lepas iaitu bantuan untuk bencana akibat ribut di negeri-negeri di sebelah utara.
"Bantuan untuk bencana itu disalurkan terus kepada kerajaan negeri. Tiada istilah pilih kasih. Kita akan berikan bantuan seimbang,” katanya pada sidang media selepas Taklimat Khas di Pejabat PKR Terengganu, di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Politik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr Zaliha Mustafa; Setiausaha Politik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saiful Izham Ramli dan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu, Azan Ismail.
Dalam pada itu katanya, pemimpin parti di negeri pimpinan pembangkang menjadi mata dan telinga untuk kerajaan Persekutuan bagi memudahkan penyaluran maklumat.
"Kita akan laksanakan sesi penerangan menerusi program turun padang begini untuk memberi penerangan kepada pemimpin parti sama ada di peringkat cabang dan ranting mengenai pelan-pelan dan jenis bantuan yang disediakan kerajaan.
"Tujuan kita turun ke negeri-negeri yang bukan ditadbir PH ialah untuk laksana tanggungjawab membantu rakyat serta salurkan maklumat secara langsung kepada mereka,” katanya.