LUBUK BONGOR - Sepasang suami isteri di sini diburu kebimbangan apabila memikirkan keselamatan anak-anak yang terpaksa tinggal dalam rumah usang dan reput.
Sabariah Mohamed Ghazali, 34, berkata, hanya rumah itu yang mampu disewa dengan bayaran RM30 sebulan.
Menurutnya, walaupun bahagian lantai, dinding dan bumbung banyak yang sudah reput, mereka tiada pilihan selain tinggal di situ.
"Saya hanya pembantu kedai makan dengan pendapatan RM20 sehari dan bekerja tiga hari seminggu.
"Suami pula (Nor Asuki Hassan, 35) mencari pucuk paku untuk dijual. Duit yang ada hanya cukup-cukup untuk keperluan harian kami sekeluarga," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Terdahulu, keluarga berkenaan menerima kunjungan Ketua Cabang PKR Jeli, Mohd Rafi Hasaim dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Jeli, Mohd Afizul Jaafar serta ahli jawatankuasa PKR cabang berkenaan yang hadir bertanya khabar serta menyampaikan sumbangan.
Sabariah berkata, anak-anak mereka yang semakin membesar memerlukan tempat perlindungan lebih selamat.
"Empat dari lima anak kami perempuan dan sedang meningkat remaja, memang saya bimbang setiap kali keluar meninggalkan mereka untuk bekerja.
"Keselamatan mereka mungkin lebih terjamin jika ada rumah yang lebih baik," katanya.
Sementara itu, Penghulu Mukim Lubuk Bongor, Norzalan Kasim ketika dihubungi berkata, pihaknya ada menerima permohonan daripada pasangan suami isteri berkenaan dan perkara itu dalam tindakan lanjut pihaknya.