'Bergantung kepada mesin oksigen 16 jam sehari'

Iklan
RCJM menyampaikan sumbangan kepada Tuan Nab bagi meringankan beban perbelanjaan keluarganya di Kampung Chekok Tok Cuba di sini semalam.

MACHANG - Hospital menjadi rumah kedua buat warga emas, Tuan Nab Tuan Soh, 62, sejak tujuh tahun lalu apabila penyakit lelah dihidapinya semakin kronik selain turut menghidap beberapa penyakit lain termasuk jantung dan darah tinggi.

Anaknya, Nik Siti Fatimah Mat Yassin, 23, berkata, rentetan penyakit yang dihidapi, ibunya terpaksa bergantung kepada mesin oksigen 16 jam sehari bagi memastikan kesihatannya tidak terjejas.

Iklan
Iklan

"Selain bergantung kepada oksigen, emak juga perlukan penjagaan rapi dari ahli keluarga bagi menguruskan keperluan harian termasuk makan minum.

"Dia juga memerlukan susu khas yang mana memerlukan sekurang-kurangnya RM400 sebulan untuk susu sahaja. Itu tak termasuk keperluan lain termasuk ada sesetengah ubat-ubatan dan peralatan yang perlu dibeli sendiri," katanya.

Iklan

Tambahnya, dia dan adik-beradik sentiasa dalam keadaan bersiap-sedia kerana bimbang sekiranya ibu mereka diserang lelah secara tiba-tiba.

"Emak boleh diserang lelah tanpa sebarang tanda dan tak kira masa jadi kami letak kereta betul-betul depan rumah sebagai persediaan bawa ibu ke hospital secepat mungkin kalau berlaku sebarang kecemasan," katanya.

Iklan

Nik Siti Fatimah berkata, dia buat masa ini tidak bekerja demi memberi sepenuh perhatian bagi menjaga ibunya itu.

"Saya menolak tawaran untuk kerja demi emak yang memerlukan penjagaan rapi.

"Adik-beradik lain ada membantu tapi mereka juga ada komitmen keluarga dan hidup susah," katanya ketika menerima kunjungan badan bukan kerajaan, Rakan Cegah Jenayah Machang (RCJM) di rumahnya di Kampung Chekok Tok Cuba di sini semalam.

Dalam kunjungan itu, Tuan Nab menerima bantuan berbentuk barangan keperluan dapur yang diharap dapat meringankan beban perbelanjaan keluarga tersebut.

Bendahari RCJM, Abdul Rahim Mat berkata, seramai 25 golongan yang memerlukan menerima sumbangan tersebut sekaligus mengeratkan hubungan pihaknya dengan masyarakat.

Katanya, sumbangan ahli korporat yang diwakilkan kepada kelab tersebut itu akan dilaksanakan secara berperingkat melibatkan seluruh jajahan ini.