'Setiap kali tiba Ogos, belanja RM1,000 beli Jalur Gemilang'

Iklan
Md Rahim menghias basikal tua dan kediamannya dengan Jalur Gemilang serta bendera negeri-negeri sebagai rutin wajib setiap kali menjelang sambutan Hari Kebangsaan. - Foto Bernama

ALOR GAJAH -"Setiap kali tibanya bulan Ogos, lebih RM1,000 saya membelanjakan untuk membeli Jalur Gemilang bagi menghias rumah, namun ia tidaklah sebesar pengorbanan pemimpin dan perajurit terdahulu yang banyak berjasa kepada negara," kata seorang bekas anggota tentera, Md Rahim Maskop, 50.

Md Rahim berkata, hampir 20 tahun beliau bersama isterinya, Zurinah Kepol, 52, setia menghias kediaman mereka di Taman Pisang Mas Jaya, Gadek di sini dengan kira-kira 2,500 Jalur Gemilang pelbagai saiz dan menjadikan aktiviti itu sebagai rutin wajib setiap kali menjelang sambutan Hari Kebangsaan.

Iklan
Iklan

"Biasanya saya akan menghias rumah dengan Jalur Gemilang bermula 15 Julai di mana tempoh itu kerajaan akan mengumumkan tema bagi Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, bahkan dekorasi hiasan bendera yang dipasang dengan bantuan jiran-jiran itu turut berubah setiap tahun supaya ada kelainan dan semangat baharu.

"Selain rumah, saya turut menghias beca dan 30 basikal tua yang dikumpul sebagai koleksi dengan Jalur Gemilang, malah saya juga menempah sepasang baju Melayu yang diperbuat daripada Jalur Gemilang dengan kos RM200 untuk dipakai pada Hari Kebangsaan nanti," katanya kepada Bernama di sini.

Iklan
Md Rahim menghias kediamannya di Taman Pisang Mas Jaya, Gadek di sini dengan kira-kira 2,500 Jalur Gemilang pelbagai saiz dan menjadikan aktiviti itu sebagai rutin wajib setiap kali menjelang sambutan Hari Kebangsaan. - Foto Bernama

Beliau berkata, minat menghias rumah dengan Jalur Gemilang bermula apabila melihat jirannya memasang bendera itu di hadapan rumah mereka menjelang Hari Kebangsaan dan minat semakin mendalam itu membuatkan dia sanggup mengubah suai bahagian hadapan dan ruang letak kereta rumah menjadi seperti mini galeri kemerdekaan.

Menariknya, bahan terbuang seperti tin susu yang dianggarkan hampir 400 biji dan dibalut dengan Jalur Gemilang serta dulang lama dijadikan bingkai gambar bagi kesemua Perdana Menteri Malaysia selain seluruh bendera negeri di negara ini turut digunakan menghiasi halaman rumahnya yang diduduki sejak tahun 2000.

Iklan

Berkat idea kreatif itu Md Rahim yang juga dikenali sebagai 'Mat Bendera' pernah menerima anugerah Tokoh Jalur Gemilang 2017 peringkat negeri, johan kategori individu Pertandingan Keceriaan Merdeka 2013 peringkat kebangsaan dan johan kategori rumah berhias sempena kemerdekaan peringkat negeri tiga tahun berturut-turut sejak 2011.

Katanya, niat menghias rumah dengan Jalur Gemilang bukanlah untuk bertanding dan memenangi gelaran atau menunjuk-nunjuk sebaliknya beliau ingin berkongsi semangat patriotik serta cintakan tanah air di samping menghargai jasa pejuang terdahulu yang berkorban untuk negara.

Md Rahim (kiri) membawa sahabatnya, Md Desa Md Eson, 68, serta cucu-cucunya Nur Nabiha Ahmad Raizal, 3, dan abangnya Ahmad Nabhan, 5, menaiki beca yang dihias sempena sambutan Bulan Kebangsaan di Taman Pisang Mas Jaya, Gadek di Alor Gajah, Melaka - Foto Bernama

"Betapa ralatnya saya jika tidak mengibarkan Jalur Gemilang ketika menjelang sambutan Hari Kebangsaan, bukanlah kerana saya pernah berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semata-mata sebaliknya menjadi tanggungjawab saya sebagai rakyat Malaysia untuk menghargai nikmat kemerdekaan yang telah dikecapi hampir 62 tahun.

"Apabila semua bendera sudah dipasang, saya akan pastikan semuanya adalah dalam keadaan baik. Mana-mana bendera yang kelihatan rosak atau lusuh, saya akan terus gantikannya dengan yang baharu," katanya.

Katanya, Jalur Gemilang bukan hanya sekadar kain yang dikibar-kibarkan kosong, tetapi ia adalah simbol paling penting untuk negara kita. - Bernama