SEBELUM ini, orang menyebarkan khabar angin dan fitnah melalui surat layang dan cerita-cerita di kedai kopi.
Pada zaman ini, fitnah sudah beralih kepada media sosial yang membolehkan sesiapa sahaja melayarinya di seluruh dunia.
Dengan wujudnya media sosial seperti WhatsApp, Facebook, Twitter, Instagram, blog dan sebagainya, ia telah mempercepatkan lagi penyampaian maklumat fitnah tersebut.
Apa yang lebih membimbangkan, masyarakat kita hari ini tidak bersikap hati-hati atau teliti dalam menerima maklumat daripada media sosial itu kerana ada yang percaya bulat-bulat tanpa merujuk kepada sumber yang sahih.
Lebih malang, ada pula yang menyebarkannya kepada orang lain.
Masyarakat harus sedar, berita palsu meninggalkan kesan buruk kerana ia mengundang permusuhan dan perpecahan.
Media sosial bagai pedang yang bermata dua atau serampang dua mata yang boleh membawa kebaikan jika digunakan dengan bijaksana tetapi boleh menghancurkan diri, masyarakat dan negara jika disalahgunakan.
Justeru, langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mewujudkan saluran WhatsApp dan e-mel khas diharap dapat menangani fitnah dan berita palsu di media sosial terutama kandungan berunsur ‘3R’ iaitu kaum (race), agama (religion) dan institusi diraja (royalty).
Pengguna diminta menghantar tangkap layar, dan pautan kandungan tidak berhemah itu atau mengirim nombor telefon individu terbabit ke talian 016-2206262 (WhatsApp) atau mediasosial@mcmc.gov.my.
Platform itu akan memudahkan proses bagi mempercepatkan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap kandungan 3R dan mampu mengawal ketenteraman awam daripada diganggu-gugat yang akhirnya boleh mengancam kestabilan negara.
Memandangkan Malaysia sebuah negara yang berbilang kaum dan agama, soal perpaduan dan sensitiviti sangat perlu diambil kira.
Jika tidak, mungkin berlaku rusuhan dan pergaduhan hanya kerana komen atau posting dalam media sosial.
Sudah sampai masa untuk kita rakyat Malaysia menyekat fitnah dan berita palsu serta menjadi warganegara yang matang, berfikiran jauh serta rasional.