Hutan berhampiran Taman Scientex Pasir Gudang terbakar

Iklan
Kebakaran yang berlaku di kawasan hutan berhampiran Taman Scientex Pasir Gudang di sini semalam.

PASIR GUDANG - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor menghabiskan masa hampir seharian bagi menghentikan kebakaran di satu kawasan hutan berhampiran Taman Scientex di sini semalam.

Difahamkan, operasi pemadaman api itu merangkumi kawasan seluas lapan ekar membabitkan tiga panggilan kecemasan yang diterima sejak jam 12.44 tengah hari.

Iklan
Iklan

Selain itu, dua lagi panggilan kecemasan yang diterima adalah pada jam 4.06 petang dan 8 malam.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Yousri Atan berkata, seramai lapan anggota bersama sebuah jentera telah digegaskan ke lokasi kejadian bagi setiap panggilan yang diterima.

Iklan

"Bomba telah menerima tiga panggilan berhubung kejadian ini, operasi pemadaman api kemudiannya bermula dengan kawasan seluas tiga ekar sebelum disusuli dengan empat dan satu ekar lagi.

"Operasi pemadaman api mengambil masa kira-kira 45 minit ke satu jam bagi setiap panggilan yang diterima,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Mohd Yousri berkata, operasi pemadaman api ditamatkan sepenuhnya kira-kira jam 10.01 malam.

Beliau berkata, pihaknya percaya cuaca panas, kering dan berangin merupakan faktor utama mengapa kebakaran di lokasi sama itu berulang beberapa kali.

"Bagi setiap operasi kebakaran berjaya dipadamkan, bagaimanapun api dipercayai naik semula akibat aliran angin dan keadaan kering di kawasan berkenaan,” katanya.