Isu Ustaz Abdul Somad: Ulama Indonesia gesa siasat penyebar video

Iklan
Ustaz Abdul Somad

JAKARTA - Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Indonesia (MUI), Zainut Tauhid Sa'adi meminta pihak polis menyiasat dalang menyebarkan video kuliah Ustaz Abdul Somad yang didakwa menghina agama lain.

Katanya, MUI merayu semua pihak tidak terpengaruh dengan provokasi dan cubaan menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.

Iklan
Iklan

"MUI meminta pihak polis untuk menyiasat pemuat naik video terbabit untuk mengetahui motif pelaku," katanya dalam satu kenyataan kepada media Indonesia hari ini.

Memetik laporan CNN Indonesia, Zainut juga kesal dengan penyebaran video tersebut kerana ia berpotensi membawa kepada polemik yang boleh mengganggu keharmonian kehidupan agama di Indonesia.

Iklan

"Semua pihak mesti tenang, berhati-hati dan matang dalam menangani masalah ini supaya tidak menyebabkan kekecohan dan membuat masalah lebih besar," katanya.

Zainut juga merayu kepada semua pemimpin agama terutamanya orang Islam untuk bijak dalam menyampaikan mesej agama dan mengelakkan perkataan menghina dan menafikan simbol-simbol agama lain.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz Abdul Somad dituduh fitnah agama Kristian

Menurut Zainut, sebarang kuliah atau penyampaian mesej agama yang menghina agama lain dan menyakiti penganutnya bukan sahaja dilarang undang-undang malah ajaran agama juga tidak membenarkan perbuatan tersebut.

"MUI memahami isu kepercayaan dalam ajaran agama adalah sesuatu yang suci dan sensitif bagi penganutnya. Semua pihak perlu menghormatinya," kata Zainut.

Mengenai dakwaan Ustaz Abdul Somad menghina agama lain, MUI mencadangkan agar pihak terlibat mengambil jalan musyawarah dengan mengutamakan semangat kekeluargaan dan persaudaraan.

"Jika konsensus tidak dapat dicapai dengan kata sepakat maka laluan undang-undang adalah pilihan yang paling mulia.

"MUI meminta semua pihak untuk tetap tenang dan menghormati proses undang-undang yang berlaku sehingga suasana kehidupan masyarakat tetap kondusif, harmonis, aman, dan damai," katanya

Sebelumnya ini, sebuah pertubuhan bukan kerajaan Briged Meo dikatakan membuat satu laporan polis terhadap Ustaz Abdul Somad berhubung kuliahnya yang tular di media sosial berhubung salib dan patung yang didakwa menghina Kristian.

Bagaimanapun, Polis Nusa Tenggara Timur Indonesia menafikan ada menerima laporan tersebut.