LUMUT - Sudah tiba masanya bagi pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) membina dan mengukuhkan rangkaian antarabangsa terutamanya melibatkan pelajar tempatan yang melanjutkan pelajaran di luar negara.
Ketua Pemuda Bersatu Lumut, Akmal Maradzi berkata, pendekatan ini penting sebagai salah satu daripada usaha sayap Bersatu dalam membina rangkaian lebih luas.
Langkah itu juga katanya, membolehkan keahlian anak muda ke dalam Bersatu dapat ditingkatkan, disamping menarik lebih ramai golongan terpelajar memimpin sayap parti itu pada masa depan.
"Walaupun baru dua tahun Bersatu ditubuhkan, namun ia bukan alasan untuk tidak bergerak pantas.
"Mereka ini adalah mata dan telinga untuk menyampaikan makluman kepada rakyat kita yang berada dial sana. Kumpulan ini juga yang akan membantu kita ketika pilihanraya," katanya.
Beliau berkata demikian selepas program Moh Ke Sekolah di Marina Island Resort dan Hotel Lumut, Perak semalam.
Dalam program itu, sebanyak 330 sumbangan persekolahan diagihkan kepada pelajar sekolah.
Sumbangan disampaikan Timbalan Ketua Pemuda Perak, Azrul Azhar yang mewakili Ketua Pemuda Bersatu Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh.
Tambah Akmal, Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu ini adalah tempat terbaik untuk mengusulkan perkara ini.
"Kesempatan ini yang perlu digunakan untuk menyuarakan hal ini dan sewajarnya mendapat pertimbangan kepimpinan.
"Kumpulan muda di luar negara sering diabaikan, jadi kita perlu ada rangkaian dengan mereka agar berada dalam lingkungan parti," katanya.
Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Putrajaya International Convention Centre (PICC).
Seramai 1,600 perwakilan seluruh negara akan menghadiri perhimpunan ini.