Warga Singapura hilang: Operasi SAR ditamatkan

Iklan
Aminuddin

MERSING - Operasi Carilamat (SAR) bagi kejadian dua warga Singapura yang hilang ketika berkayak di perairan Mersing ditamatkan sekitar jam 9 malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, operasi SAR itu ditamatkan berikutan tiada lagi sebarang petunjuk baharu ditemui selepas penemuan mangsa wanita pada 14 Ogos lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, operasi SAR yang dijalankan selama 10 hari berjaya menemukan kayak bersama barang-barang peribadi mangsa dan seorang mangsa wanita manakala seorang lagi mangsa lelaki tidak dapat ditemukan.

"Walau bagaimanapun operasi carilamat ini akan diaktifkan semula jika terdapat petunjuk baharu.

Iklan

"SAR yang dilaksanakan meliputi skop pencarian dari udara, permukaan laut, pesisir pantai dan pulau-pulau melibatkan keseluruhan 155 anggota.

"Sebanyak lima aset udara dan 11 aset laut daripada pelbagai agensi turut digerakkan dengan anggaran kos operasi sebanyak RM431,380," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Aminuddin berkata, operasi SAR yang dikoordinasikan APMM mendapat kerjasama jitu daripada pelbagai agensi iaitu Polis Diraja Malaysia(PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan lain-lain lagi.

Menurutnya, selain itu SAR turut mendapat bantuan daripada komuniti maritim, nelayan dan masyarakat tempatan.

"Justeru Maritim Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam operasi ini," katanya lagi.

Aminuddin turut menasihatkan kepada semua komuniti maritim dan keseluruhan masyarakat secara amnya untuk sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut.

Jelasnya, persediaan sewajarnya seperti cakna tentang ramalan cuaca dan pematuhan undang-undang dapat mengurangkan risiko kejadian tidak diingini daripada berlaku.

Katanya, bagi sebarang kejadian kecemasan di laut mereka yang terlibat boleh hubungi talian MERS 999 atau MRSC Johor Bahru di talian 07-221 9231.

ARTIKEL BERKAITAN: Op SAR warga Singapura tumpu pesisir pantai