Penganggur ceroboh rumah ibu Najib dijel seminggu

Iklan

KUALA LUMPUR - Akibat menceroboh rumah ibu kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, seorang penganggur dijel seminggu dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di sini.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Nur Akmal Azisham, 21, selepas lelaki itu mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan kepadanya.

Iklan
Iklan

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 15 Ogos lalu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Iklan

Difahamkan, tertuduh bagaimanapun tidak mampu membayar jumlah denda tersebut dan dihantar ke penjara Kajang.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Nur Akmal didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki rumah milik Tun Rahah Mohd Noah di Jalan Eaton Off Jalan Tun Razak di sini pada jam 9.45 malam, 15 Ogos lalu.

Iklan

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syakirin Yaccob manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, dia yang masih bujang memohon mahkamah memberikan hukuman denda ringan.

Sementara itu, ketika ditanya majistret alasan tertuduh memasuki rumah itu, Muhammad Nur Akmal menjawab dia tidak tahu dan tidak ingat.

Nur Syakirin bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh bagi memastikan kejadian berkenaan tidak berulang.