Anak Kelantan buat laporan dihina artis

Iklan
Kumpulan Anak Kelantan Prihatin membuat laporan polis semalam berhubung kenyataan yang dikeluarkan seorang artis lelaki yang dilihat sebagai menghina rakyat Kelantan.

SHAH ALAM - Kumpulan Anak Kelantan Prihatin di Lembah Klang mendesak polis mengambil tindakan terhadap seorang artis lelaki yang membuat video menghina rakyat di negeri itu menerusi laman sosial Instagram miliknya.

Jurucakap kumpulan itu, Norlida Daud berkata, artis berkenaan membuat kenyataan menghina rakyat Kelantan yang secara tiba-tiba tahu berbahasa Inggeris ketika menyertai program penceramah dari India, Dr Zakir Naik di Kota Bharu baru-baru ini.

Iklan
Iklan

"Saya ada melihat rakaman penyiaran video itu dibuat melalui 'Insta story' milik artis berkenaan. Video itu mengkritik kehadiran begitu ramai rakyat Kelantan ketika program Zakir di Stadium Sultan Muhammad IV.

"Salinan video berkenaan juga telah dimuat naik semula di Instagram igkelantan dan pada ruangan komen, artis berkenaan telah mengeluarkan komen yang menghina rakyat Kelantan dengan mengatakan Kelantan adalah negeri terbanyak mempunyai masalah dadah, pembuangan bayi dan pedofilia,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Iklan

Norlida berkata, satu laporan polis turut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada jam 4.45 petang semalam, disusuli beberapa laporan polis oleh rakyat Kelantan secara berasingan.

"Kenyataan artis berkenaan jelas telah menyinggung kami sebagai rakyat Kelantan,” katanya.

Iklan

Ucapan ceramah Zakir pada 9 Ogos lalu mengundang kontroversi sehingga beberapa menteri Kabinet mendesak supaya beliau diusir dari negara.

Zakir kemudiannya menjelaskan ucapannya berkaitan kaum India dan Cina di negara ini diambil dari luar konteks dan cubaan untuk menganiayainya.

Beliau turut membuat laporan polis berhubung ucapannya yang disalah tafsir.