Pembangkang cuba tamatkan riwayat PH: Guan Eng

Iklan
Lim Guan Eng

SHAH ALAM - DAP mendakwa pembangkang mengapi-apikan rasa kebencian antara perkauman dan agama dalam kalangan orang Melayu dan bukan Melayu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa, tindakan dibuat oleh Pas, UMNO, MCA dan MIC itu untuk mewujudkan kacau-bilau yang besar supaya dapat menamatkan riwayat Pakatan Harapan (PH).

Iklan
Iklan

"Suatu contoh yang baik ialah apabila mantan Perdana Menteri, yang juga Penasihat Kebangsaan BN, Datuk Seri Najib Razak mendakwa bahawa DAP hari ini merupakan ‘kingmaker’ dalam PH, di mana menteri-menteri DAP (yang merupakan non-Melayu, dan non-Muslim) yang dilantik menyebabkan peningkatan dalam ketegangan dalam kalangan orang Melayu.

"Namun pada masa sama, Najib membidas dirinya sendiri apabila meminta DAP yang konon-kononnya ‘kingmaker’ untuk meletakkan jawatan kerana gagal untuk menutup kilang memproses nadir bumi Lynas? katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Menurut Guan Eng, penipuan daripada Najib didedahkan apabila DAP tidak berjaya meyakinkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menutup kilang memproses nadir bumi Lynas.

"DAP akan terus berusaha untuk meyakinkan Perdana Menteri untuk memahami keresahan dibuat oleh pejuang alam sekitar,” katanya.

Iklan

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pembangkang mahupun akhbar yang dikawal parti terbabit tidak pernah mengetengahkan kejayaan Kerajaan PH yang menggalakkan dalam mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.9 peratus pada suku kedua 2019 berbanding 4.5 peratus pada suku pertama.

"Malaysia satu-satunya negara ASEAN yang telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat dalam suku kedua berbanding suku pertama 2019,” katanya.

Menurut beliau, stereotaip ekstremis perkauman dan keagamaan itu sebagaimana lazim daripada pihak pembangkang di mana mereka akan mendendangkan lagu yang berlainan apabila menghadapi golongan bukan Melayu dan bukan Islam.

"MCA atau MIC yang cuba menakutkan-takutkan tentang ekstremis kaum dan agama yang membahayakan golongan bukan Melayu dan bukan Islam, sedang bekerjasama secara erat dengan UMNO dan Pas yang mahu mengambil hak-hak orang bukan Melayu dan bukan Islam.

"Apakah Pas, UMNO, MCA dan MIC percaya rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, dan latar belakang begitu mudah diperdaya sehingga akan termakan kebencian etnik dan agama yang sedemikian, untuk mengalihkan tumpuan daripada korupsi pembangkang, mahupun ketidakcekapan pengurusan ekonomi mereka sehingga mereka tidak mampu membayar gaji penjawat-penjawat awam?

"Mimpi dan khayalan Pas, UMNO, MCA dan MIC untuk mengambil kembali Kerajaan Persekutuan dengan memainkan kebencian kaum dan agama, tidak akan berjaya di ketika kerajaan PH komited untuk mengamalkan pendekatan yang rasional dan moderat terhadap pembinaan negara dan dalam mengurus isu-isu panas,” katanya.

Guan Eng berkata, Kerajaan PH komited untuk mendengar daripada rakyat termasuk pandangan-pandangan berbeza, walaupun keputusan yang dibuat adalah untuk mencari alternatif lain yang lebih baik.

"Ini sebahagian daripada demokrasi dan pimpinan DAP akan terus memainkan peranan aktif ke arah proses membuat keputusan yang lebih baik yang akan menambah baik demokrasi, kesihatan dan keselamatan awam, serta taraf hidup rakyat,” katanya.