GEORGETOWN - Majlis agama Islam perlu berfungsi sebagai dewan pemikiran dan pentadbiran Islam di bawah naungan, pengawasan dan pemantauan langsung Yang di-Pertuan Agong.
Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, Majlis berperanan sebagai jambatan penghubung antara umat Islam dan Raja Pemerintah, umat Islam dengan kerajaan pilihan rakyat serta antara umat Islam dan warga bukan Islam.
Titah baginda, kesetiaan ahli-ahli Majlis yang diperkenankan lantikan adalah kepada takhta Yang di-Pertuan Agong.
"Titah perkenan baginda wajib diperoleh sebelum sesuatu dasar, arahan dan kegiatan mengenai Islam mahu dilaksanakan. ahli Majlis wajib membawa minda keluar, merangka rancangan dan tindakan yang lebih substantif demi kemuliaan sinar Islam selain membela martabat umat Islam.
"Peranan Majlis wajib diluaskan, dimerdekakan daripada minda lama yang dengan sengaja disempitkan oleh Inggeris. Ia hendaklah ditakrif secara bijak, disuntik dengan tenaga pemikiran dan tenaga pelaksana berwibawa untuk menghasilkan idea bernas dan program dinamik," titah baginda.
Baginda bertitah pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan Hakim serta Pendaftar Mahkamah Syariah Pulau Pinang di sini, hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, walau apa pun senario politik yang berlaku di dalam negara, selagi tindak tanduk Majlis tidak bercanggah dengan semangat Perlembagaan, negara hendaklah mengiktiraf Majlis agama Islam.
"Majlis agama Islam sebagai sebuah institusi yang berperanan penting untuk menjamin kelangsungan Islam dan survival ummah. Dalam suasana umat Islam kelihatan berterusan berselisih pendirian, dan dalam senario ukhuwah sesama umat Islam terbayang semakin retak, Majlis agama Islam hendaklah mengambil tanggungjawab.
"Majlis agama Islam perlu menggalas tanggungjawab sebagai instrumen penyatuan ummah dan bebas daripada sebarang agenda politik kepartian, yang dianggap berpihak dan berat sebelah. Ia supaya peranan Majlis dilihat neutral dan dapat diterima tanpa prejudis serta prasangka oleh majoriti umat Islam," titah baginda.
Titah baginda, Majlis agama Islam adalah institusi bukan politik yang bertanggungjawab secara langsung kepada Yang di-Pertuan Agong di atas peranan baginda sebagai ketua agama negeri.
Terdahulu, Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan watikah kepada 14 anggota Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang serta 25 orang hakim dan pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang.
Turut hadir, Yang di-Pertuan Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.