Operasi SAR: Singapura, keluarga zahir penghargaan kepada Malaysia

Iklan

SINGAPURA - Kerajaan Singapura hari ini menzahirkan penghargaan kepada Malaysia dan semua agensi Malaysia yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak 10 hari lalu mencari dua warga Singapura yang hilang ketika berkayak di Mersing.

"Ia adalah operasi intensif, yang menyaksikan aset dan tenaga kerja dikerah dalam keadaan mencabar meliputi kawasan perairan yang luas di negeri Johor, Pahang dan Terengganu,” menurut Kementerian Luar Singapura (MFA) dalam kenyataannya di sini.

Iklan
Iklan

"Kami amat berterima kasih kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), yang mengetuai operasi SAR dan menyelaras pelbagai agensi Malaysia di darat dan laut.

"Kami juga terharu dengan sokongan dan bantuan rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat, terutamanya nelayan di kawasan berkenaan yang memainkan peranan penting dalam usaha pencarian itu,” menurut kementerian tersebut.

Iklan

Operasi SAR menjejaki seorang lagi lelaki warga Singapura yang masih hilang sejak 8 Ogos lepas ketika menyertai ekspedisi berkayak di perairan Mersing ditamatkan semalam, selepas penyelamat gagal menemui petunjuk baharu.

Pengarah Maritim negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, pencarian itu akan diaktifkan semula jika ada petunjuk baharu.

Iklan

Puah Geok Tin, 57, dan Tan Eng Soon, 62, dilaporkan hilang pada kira-kira 5.40 petang selepas terpisah dengan 13 lagi rakan mereka berikutan laut bergelora dan angin kuat ketika berkayak di perairan Mersing.

Mayat wanita warga Singapura, Puah, ditemukan terapung di kedudukan 5 batu nautika timur Kuala Kemaman, Terengganu pada 12.50 tengah hari, 14 Ogos, manakala Tan masih hilang.

MFA juga menzahirkan simpati kepada keluarga kedua-dua warga Singapura itu.

"Ingatan dan doa kami untuk keluarga mangsa pada saat-saat yang sukar ini,” menurut kementerian itu.

Sementara itu, keluarga Tan juga menitipkan nota Terima Kasih.

"Kami, keluarga Tan Eng Soon, ingin mengucapkan terima kasih kepada APMM dan semua organisasi lain yang terlibat dalam pencariannya,” kata keluarga itu.

"Sokongan dan simpati nelayan dan masyarakat tempatan juga telah menyentuh perasaan kami dan memberi kami kekuatan, menempuh waktu yang sukar ini.

"Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada MFA Singapura yang telah bersusah payah melaksanakan tanggungjawab untuk bersama kami.

"Walaupun kami tidak dapat menemui mayatnya, kami menerima kenyataan ini bahawa beliau sememangnya menyukai laut dan beliau akan aman di sana,” kata keluarga itu. -Bernama