PENDANG -"Saya nak pergi sekolah semula, saya harap dapat ambil UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) tahun ni."
Demikian luahan hati Nurul Husna, 12, yang tidak dapat mendaftarkan diri sebagai pelajar ekoran tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
Bapa angkatnya, Johari Ishak, 53, berkata, sebelum ini, Nurul Husna belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rawa menggunakan surat kebenaran sementara atas ihsan daripada guru besar.
"Namun begitu, sejak awal tahun lalu anak saya tidak diterima masuk untuk sesi pembelajaran tahun enam.
"Keadaan ini menghalang anak saya untuk menduduki UPSR nanti dan ia memberi tekanan kepadanya," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Durian semalam.
Menurut Johari, dia dan isteri Siti Fatimah Wahab, 53, mengambil Nurul Husna daripada seorang saudara.
"Kami menerima Nurul Husna pada tahun 2008 daripada mereka tanpa sebarang dokumen kelahiran.
"Cumanya depa ada bagi saya surat pencarian sijil kelahiran namun tidak mempunyai sebarang nilai," katanya.
Johari berkata, saudaranya itu ada berjanji untuk memberikan sijil kelahiran namun sehingga kini tidak munculkan diri.
"Saya dah buat pelbagai usaha untuk bantu anak angkat saya ni tetapi sehingga kini usaha saya hanya sia-sia," katanya.
Sementara itu, Nurul Husna berkata, dia sangat berharap yang dia masih berkesempatan untuk menduduki UPSR.
"Walaupun saya tidak ke sekolah saya masih minta ayah untuk belikan buku tahun enam dan mempelajarinya sendiri di rumah.
"Bila rindu nak rasa pergi sekolah saya akan pakai baju sekolah dan menggalas beg," katanya dalam nada sedih.
Dalam pada itu, Exco Pendidikan dan Sumber Manusia, Dr Salmee Said berkata, prosedur berkaitan pendaftaran sekolah telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
"Surat kebenaran belajar sementara diberikan hanya untuk satu tempoh sahaja dan ia bertujuan memberikan masa kepada ibu bapa angkat untuk menyediakan dokumen yang diperlukan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Menurut Salmee, sekiranya dalam tempoh setahun itu ibu bapa angkat tidak menyiapkan dokumen seperti yang diminta, kesannya kanak-kanak berkenaan tidak boleh bersekolah untuk tahun berikutnya.
"Walau bagaimanapun kita akan meneliti kes ini dan cuba menyelesaikannya dengan baik," katanya.