GUA MUSANG -"Parti DAP bukan hanya untuk kaum Cina dan India sahaja," tegas bekas Ketua Pemuda UMNO Gua Musang, Datuk Bazlan Baharuddin.
Bazlan yang membuat kejutan apabila mengumumkan penyertaannya dalam DAP Sabtu lalu berkata, walaupun pilihannya itu mengundang kecaman hebat, beliau tidak menyesal dengan keputusannya itu kerana menyifatkan DAP sebagai parti yang lebih harmoni.
"Memang betul, banyak pilihan dalam Pakatan Harapan (PH), tetapi saya pilih DAP bersebab. Saya berada dalam arena politik hampir 15 tahun dan saya sudah meneliti setiap parti yang ada.
"Antara parti dalam PH, DAP antara parti yang kukuh yang mana pemimpinnya tidak bersengketa antara sesama sendiri. Itu salah satu tarikan untuk saya bersama-sama menguatkan lagi DAP di Kelantan.
"Malah, penerimaan dalam kalangan ahli di luar jangkaan saya. Mereka amat mengalu-alukan penyertaan dan menyatakan sokongan antara satu sama lain," katanya ketika ditemubual menerusi siaran langsung Sinar Harian Edisi Kelantan semalam.
Bazlan berkata, beliau juga memohon agar masyarakat khususnya orang Melayu tidak memandang DAP sebagai satu parti politik perkauman.
"DAP bukan parti perkauman, ia parti untuk semua," kata Pengerusi Penaja DAP Gua Musang itu.
Bazlan, 51, menggalas jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian pada 2008 hingga 2013.
Pada 2013, beliau mencabar Tengku Razaleigh Hamzah bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian, namun tewas dan kembali mencabar Tengku Razaleigh pada pemilihan tahun lalu tetapi menarik diri di saat akhir.