Jeti Pulau Orang Utan masih selamat digunakan

Iklan
Jeti Pulau Orang Utan di Bukit Merah Laketown Resort yang terbakar semalam

BAGAN SERAI - Jeti Utama Pulau Orang Utan di Bukit Merah Laketown Resort masih selamat digunakan meskipun sebahagian kawasan itu terbakar, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Abdul Nasir Jalil berkata, kebakaran yang berlaku tidak menjejaskan keseluruhan operasi jeti sebagai kemudahan pengunjung ke pulau terbabit.

Iklan
Iklan

"Hanya 30 peratus sahaja yang terjejas, ruang menunggu, pawagam terbuka, kedai cenderahati dan kafe ini kita tutup sementara untuk siasatan.

"Bahagian lain termasuk laluan jeti daripada bot adalah selamat untuk digunakan, tiada masalah untuk pengunjung ke sini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Iklan

Menurutnya, tindakan pantas kakitangan resort melakukan pemadaman awal menggunakan air tasik dan alat pemadam api berjaya mengelak kerugian lebih besar berlaku.

"Kejadian berlaku ketika pertukaran pekerja antara jam 6.45 petang hingga 7 malam, secara kebetulan, seorang kakitangan yang tiba di jeti resort menoleh ke arah jeti di pulau itu dan melihat ada nyalaan api.

Iklan

"Mereka berpatah balik dan dengan menggunakan besen, tong serta bekas air yang ada di situ mereka cuba mengawal api daripada merebak sementara menunggu anggota bomba tiba," katanya.

Abdul Nasir berkata, pasukan forensik bomba sudah ke lokasi dan mengambil sampel-sampel berkaitan untuk siasatan.

"Pulau ini menggunakan janakuasa atau genset bagi membekalkan tenaga elektrik. Kita akan lihat juga sama ada berlaku masalah pada genset berkenaan ketika kejadian berlaku," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah Laketown Resort (YPOUBM), Dr D Sabapath berkata, pihaknya akan menunggu laporan penuh bomba sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

Jelasnya, tiada kakitangan atau pengunjung berada di jeti kerana kejadian berlaku selepas waktu lawatan ke Pulau Orang Utan.

"Kita sentiasa menitikberatkan keselamatan pengunjung, kakitangan dan haiwan-haiwan termasuklah orang utan yang berada di pulau ini," katanya.