PELAKON Farah Nabilah, menafikan khabar angin yang mendakwa dia bakal menamatkan zaman bujang pada bulan Oktober ini dan sudah pun mula mengedarkan kad jemputan.
Jelas selebriti berusia 27 tahun ini, dia akan ke New York awal September ini selama tiga minggu atas urusan kerja dan kemudian bercuti bersama keluarga, sebelum ke Jerman pada bulan Oktober juga atas urusan kerja.
Bagaimanapun pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama Titian Cinta itu tidak menafikan sudah mempunyai perancangan ke arah itu.
"Usia saya pun dah masuk 27 tahun dan memang ada perancangan untuk mendirikan rumah tangga. Apatah lagi, mak saya pun dah tanya bila dia boleh timang cucu sebab saya merupakan anak sulung dalam keluarga.
"Apa yang boleh saya katakan, saya tidak akan merahsiakan bila saya akan berkahwin. Saya akan berlaku adil pada teman media dan peminat-peminat saya.
"Bagaimanapun saya tidak akan berkahwin pada Oktober. Belum ada tempahan kad dibuat, mahupun baju yang ditempah.
"Tapi saya anggap desas-desus ini sebagai doa agar ia benar-benar berlaku," ujar ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama pelakon drama bersiri Kau Yang Pertama di Taman Wahyu, Kuala Lumpur semalam.
Kau Yang Pertama merupakan gandingan terbaharu Farah bersama Fikry Ibrahim selepas keserasian mereka menerusi drama bersiri Cik Reen Encik Ngok Ngek mendapat respons positif peminat.
Drama Kau Yang Pertama yang diarahkan Harith Omar turut dibintangi Tasha Shilla, Amar Asyraf, Elly Mazlein dan Sheila Mambo. Drama 28 episod itu disiarkan menerusi slot Akasia, Isnin hingga Jumaat jam 7 malam di TV3.