KUALA PILAH – Dua wanita yang menyamar sebagai kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ditahan polis selepas cuba memperdaya dua beranak di Kampung Pilah Tengah, Senaling di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, kedua-dua beranak itu terpedaya selepas didatangi suspek berusia 30 dan 35 tahun di rumah mangsa kira-kira jam 3 petang.
"Suspek memperkenalkan diri sebagai adik-beradik dan ibu tunggal yang ingin memberi bantuan membaiki rumah sebanyak RM20,000 dan bantuan wang sara diri kepada mangsa dan RM40,000 untuk rumah tinggal di bahagian belakang rumah mangsa.
"Ketika kejadian, suspek sempat menumpang solat di ruang tamu rumah mangsa selain mengambil gambar di dalam dua buah bilik dan kedua-dua mangsa," katanya mengesahkan laporan hari ini.
Menurutnya, sebaik selesai suspek memaklumkan akan datang semula untuk membuat perkiraan ke atas dua buah rumah tersebut.
"Bagaimanapun, mangsa meminta bantuan penduduk kampung untuk menahan suspek ekoran bimbang dengan tindakan suspek dan mereka ditahan polis.
"Polis turut merampas satu set kunci, sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih dan dua buah telefon bimbit," katanya.
Haslah berkata, polis tidak menemui sebarang dokumen atau pas pengenalan diri sebagai pegawai JKM ketika pemeriksaan dilakukan.
"Polis juga masih menyiasat sama ada suspek ialah orang yang sama dalam kejadian berlaku sebelum ini di Kampung Gentam dan Kampung Parit pada 6 dan 13 Ogos lalu.
"Polis akan membuat kawad cam selepas perintah tahanan reman diperoleh," katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.
Pada 6 dan 13 Ogos lalu dua wanita warga emas berusia 70 tahun kerugian dianggarkan RM18,000 selepas terpedaya dua individu menggunakan modus operandi sama menyasarkan wanita warga emas terutama tinggal bersendirian.
Suspek memperkenalkan diri sebagai pegawai JKM untuk siasatan bantuan kewangan dan seorang lagi suspek akan berlegar-legar mengambil gambar di dalam rumah sebelum menyamun.