BURSA Malaysia dibuka lebih tinggi hari ini dipacu oleh belian terhadap saham wajaran tinggi terpilih.
Pada 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 1.7 mata kepada 1,598.24, selepas dibuka naik 1.92 mata kepada 1,598.37.
Penanda aras itu ditutup pada 1,596.45 semalam.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 131 berbanding 67 manakala 172 kaunter tidak berubah selain 1,584 tidak didagangkan dan 14 lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 95.17 juta unit bernilai RM40.58 juta.
Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata, pasaran ekuiti dijangka pulih selepas mengalami kejatuhan ketara baru-baru ini didorong oleh prospek ekonomi tempatan yang stabil dan ketegangan global dilihat lebih reda.
"Oleh itu, kami percaya Bursa Malaysia dalam proses meningkat semula dan berkemungkinan kekal menyederhana pada masa ini dengan indeks utama sekitar tahap 1,600 mata yang juga kadar rintangan segera," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Paras rintangan pula adalah sekitar 1,601-1,620 manakala sokongan pada 1,590 dan 1,580.
Sementara itu, seorang penganalisis berkata, para pelabur juga menyasarkan saham-saham Digi dan Axiata Telenor berikutan penggabungan kedua-dua syarikat yang dilaporkan masih dalam peringkat rundingan selepas berdepan cabaran tertentu.
"Bagaimanapun, kami percaya masalah itu akan dapat dileraikan ketika pelabur melihatnya sebagai peluang besar berikutan beberapa pencapaian bermaknanya sebelum ini, baik bagi industri telekomunikasi tempatan mahu pun serantau,” katanya.
Saham wajaran tinggi telekomunikasi Digi naik dua sen kepada RM4.99 manakala Axiata tidak berubah pada RM4.89.
Sementara itu, Dialog, IHH dan Genting Malaysia masing-masing untung satu sen kepada RM3.49, RM5.70 dan RM3.08.
Saham paling aktif menyaksikan Daya Materials dan PUB masing-masing susut setengah sen kepada 1 sen dan 7 sen manakala Sealink, KNM dan Zecon menambah setengah sen kepada 28 sen, 38 sen dan 40 sen.
FBM Ace susut 12.02 mata kepada 4606.44, FBM 70 naik 12.31 mata kepada 14,151.17, Indeks FBM Emas menambah 13.10 mata kepada 11,320.99, Indeks FBM Emas Syariah menokok 19.31 mata kepada 11,859.64 dan Indeks FBMT 100 meningkat 11.84 mata kepada 11,154.74.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 8.64 mata kepada 15,544.14, Indeks Perladangan berkurangan 13.51 mata kepada 6,734.09 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.25 mata kepada 150.31. - Bernama