RANTAU - Aachi Kitchen Catering mendapat pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) hari ini selepas berjaya menyiapkan tose sepanjang 8.1 meter dan menjadikannya terpanjang di Malaysia.
Pemilik Aachi Kitchen Catering, R Suselah berkata, pengiktirafan itu membuktikan kemampuan mereka dalam penyediaan makanan terutamanya tose yang sering dianggap mudah untuk dihasilkan.
"Untuk sediakan tose dengan jumlah yang sedikit tidak ada masalah, namun menghasilkan tose yang panjang ini memerlukan lima kilogram adunan tepung dalam tempoh enam jam penyediaan sangat mencabar.
"Lebih mendebarkan apabila tiba proses menggulung tose sebab ia perlu dilakukan secara berhati-hati dan teliti bagi mengelakkan tose hancur," katanya selepas pengiktirafan Tose Terpanjang di Malaysia oleh MBOR yang berlangsung di Kampung Kuala Sawah, di sini.
Suselah berkata, seramai 10 individu terdiri daripada rakan-rakannya yang juga mahir dalam penghasilan tose terlibat untuk menghasilkan tose terpanjang itu dalam tempoh 3 minit 47 saat.
Saya berharap pada masa akan datang, Aachi Kitchen dapat mencipta nama pula dalam Guinness World Records dengan memecah rekod 60 meter tose terpanjang berbanding rekod dunia sebelum ini iaitu 53.8 meter,” katanya.
Sementara itu, penyelaras Dun Rantau Dr S Streram berkata, pencapaian itu membanggakan dan ia memberi impak positif terhadap kesungguhan penduduk melakukan sesuatu yang bermanfaat.
"Dun Rantau sudah terkenal jadi dengan kejayaan ini akan lebih melonjakkan nama Rantau yang mempunyai anak-anak tempatan yang berbakat dan kreatif," katanya.
Terdahulu, Sijil Malaysia Book of Records diserahkan wakil MBOR Buvaneswaren Naidu kepada Susaleh yang mengusahakan Aachi Kitchen Catering selama empat tahun bersama rakan kongsinya, V Kumaren.